Liga Super Malaysia Berita

Liga Super: JDT catat kemenangan ketiga berturut-turut, Selangor sekadar seri

Saingan Liga Super pusingan ketiga menyaksikan Johor Darul Ta’zim FC mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut musim ini, manakala Selangor sekadar meraih keputusan seri di gelanggang sendiri.

Dalam pertemuan menentang UiTM FC di Shah Alam, JDT mendahului menerusi jaringan Arif Aiman pada minit ke-10, walaupun baru sahaja masuk menggantikan Safawi Rasid yang mengalami kecederaan beberapa minit sebelum itu.

Gonzalo Cabrera menggandakan jaringan apabila menjaringkan gol dari luar kotak penalti pada minit ke-15.

Kemenangan JDT dilengkapkan dengan gol debut Bergson pada minit ke-80, menerusi jaringan padu dari luar kotak penalti.

Di Kelana Jaya, Selangor gagal meraih kemenangan apabila terikat 1-1 oleh musuh kejiranannya, Kuala Lumpur City.

Hujan yang lebat turut menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan sehingga gagal mencipta peluang gol dan jaringan pada separuh masa pertama.

KL akhirnya memecah kebuntuan pada 10 minit sebelum tamat perlawanan apabila Dominique Da Sylva menjaringkan gol pada minit ke-80.

Dengan KL yang sengaja melengah-lengahkan masa di minit-minit terakhir perlawanan, Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Safuwan Baharudin ketika masa tambahan.

Di Likas, Sabah pula dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada PJ City meskipun beraksi di gelanggang sendiri.

Walaupun menurunkan sehingga lima pemain import, ia jelas agak memalukan apabila tewas kepada PJ yang tidak mempunyai seorang pun pemain import dan hanya bergantung kepada pemain tempatan.

Gol kemenangan PJ City dijaringkan oleh Darren Lok pada minit ke-53. Ia merupakan gol ketiga Darren setelah beraksi dalam tiga perlawanan.

Nasib Melaka United juga kurang bernasib baik apabila terikat 0-0 di gelanggang sendiri, meskipun Pahang dalam keadaan krisis keyakinan selepas tewas dua kali berturut-turut dan jurulatihnya Thomas Dooley telah direhatkan.

Selepas tiga perlawanan, JDT mengungguli di persada Liga Super dengan 9 mata, diikuti Terengganu dengan 6 mata. Terengganu akan beraksi menentang Perak esok.