Liga Super Malaysia Berita

Jorge Pereyra Diaz bakal sertai Sabah

Bekas pemain import JDT, Jorge Pereyra Diaz dilaporkan akan kembali beraksi di Liga Malaysia musim 2021 ini apabila mendapat tawaran daripada Sabah.

Status perpindahan penyerang Argentina berusia 30 tahun itu diakui oleh ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto dan berharap pemain itu dapat menyertai pasukannya secepat mungkin sebelum Liga Super bermula pada bulan depan.

“Permainannya cocok dengan corak permainan kami,” katanya kepada Stadium Astro.

“Kami perlu adakan kesepakatan dengan secepat mungkin agar dia boleh datang dengan segera.”

Diaz pertama kali datang ke Malaysia ketika di pertengahan musim 2014 dan menjadi salah seorang pemain utama yang membantu JDT memenangi Liga Super buat pertama kali dalam sejarah.

Beliau bagaimanapun dipinjamkan ke kelab Argentina, Independiente pada 2015 sebelum kembali menjadi watak penting apabila membantu JDT memenangi Liga Super musim 2016 serta memenangi Kasut Emas apabila menjaringkan 18 gol.

Namun, Diaz sekali lagi dipinjamkan pada musim 2017 apabila beliau beraksi di kelab Mexico, Leon.

Apabila beliau kembali ke JDT pada 2018, Diaz tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan beliau akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Malaysia.

Selepas beberapa bulan tanpa kelab, Diaz menyertai kelab Argentina, Lanus pada musim panas 2018 sebelum berhijrah ke Bolivia dengan menyertai kelab Bolivar pada Januari 2019.

Beliau beraksi di Bolivar sehingga Ogos 2020 apabila berhijrah pula ke Chile dengan menyertai kelab CD San Marcos de Arica.

Jika dilihat perkembangan terbaru, Diaz masih lagi beraksi di San Marcos.