Liga Premier Malaysia Berita

MFL: Isu hutang sudah dijelaskan, mengapa Norizam serang lagi?

CEO MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan mempersoalkan tindakan pemilik Kelantan FC yang terus-terusan menyerang badan pengelola Liga Malaysia itu.

Beliau berkata dakwaan tunggakan pembayaran hak penyiaran dengan pasukan liga dan elaun pengadil perlawanan sudah dijelaskan, namun perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Mengenai tuduhannya saya tidak mahu komen kerana tahun ini tiada lagi siaran langsung dan tahun lalu semua telah dibayar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

“Tentang pengadil saya telah jelaskan kepada 24 CEO kelab Liga Malaysia berkenaan perkara itu dalam sesi taklimat.

“Apa yang saya tak faham kenapa beliau mengeluarkan kenyataan seperti itu setelah saya menjelaskan segala persoalan yang diajukan dalam sesi taklimat tersebut.”

Ghani menganggap tindakan Norizam itu bertentangan dengan peraturan MFL.

“Beliau perlu ingat sebagai pemegang taruh ada perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, ini bertentangan dengan peraturan yang telah termaktub.

“Dia perlu belajar mengenai perkara ini dalam hal undang-undang. Sesiapa yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan dasar kita.

“Ada perkara dibincangkan tidak boleh didedah kepada media. Mungkin dia baru dan tidak faham.

“MFL akan mengeluarkan surat kepada beliau untuk meminta penjelasan.”