Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi mengajak pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyelesaikan isu secara keluarga.
Ini selepas Norizam membidas tindakan FAM yang mahu memotong tiga mata terhadap pasukannya, setelah diarahkan untuk membayar tuntutan 11 bekas pemain berjumlah lebih RM187,000.
Bagaimanapun, Yusoff menyifatkan Norizam sebagai antara individu yang jarang-jarang ada dalam bola sepak Malaysia
“Orang macam Zamsaham tidak ramai,” katanya kepada Harian Metro.
“Kita sedar tidak ramai yang mahu melabur duit mereka sendiri dengan banyak.
“Keluarga bola sepak tempatan tentu menyambut baik kehadiran tokoh seperti Zamsaham untuk mewarnai dan membantu industri bola sepak negara.
“Eloklah kita selesaikan salah faham ini dengan cara baik. Saya diberi mandat untuk menjemput Norizam berbincang dengan baik dalam tempoh terdekat ini.”
Yusoff juga berpendapat perbalahan antara Norizam, FAM dan MFL hanya berpunca daripada salah faham yang ditimbulkan oleh kesilapan laporan media.
“Sebab itu saya serahkan kepada FAM dan MFL untuk berbincang dengan elok seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak.”