Liga Super Malaysia Berita

Melaka tidak mahu berhutang lagi

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United Football Club, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri memberi jaminan bahawa pasukannya akan menyelesaikan segala tunggakan dan berbelanja mengikut kemampuan pada saingan musim 2021.

Ini selepas Melaka memperoleh kelab lesen kebangsaan daripada Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) menerusi First Instance Body (FIB) Pe­lesenan Kelab.

Keputusan itu berdasarkan komitmen Melaka FA yang sudah berjaya membuat bayaran pertama sebanyak RM476,160.00 manakala bakinya akan dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah diserahkan.

Bagaimanapun, Melaka masih mempunyai tunggakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM276,169.75 yang akan dibayar secara ansuran.

“Setakat ini pembayaran seperti biasa, tiada masalah dan jumlah dibayar mengikut persetujuan bersama,” kata Saiful kepada Utusan.

“Bagi mengelak perkara ini terus membelenggu pasukan pada masa akan datang kita akan berbelanja ikut kemampuan.

“Saya akan pantau setiap sen keluar dan masuk, termasuk jumlah yang dibelanja supaya tidak berlaku pembaziran.”

Saiful juga menganggap situasi penularan kes Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada kewangan pasukan.

“Dengan Covid-19 dan PKP kita lihat perniagaan tidak boleh dijalankan, bertemu penaja pun terbatas, apa-apa urusan susah nak urus.

“Di situ kita lihat penekanan dari aspek pengurusan sangat penting.”