Liga Super Malaysia Berita

Nik Sharif Haseefy: Kerana Dollah, saya dapat sertai Selangor

Nik Sharif Haseefy memberi bayangan bahawa beliau tidak akan dapat sertai pasukan sehebat Selangor jika tidak kerana jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

Pemain berusia 23 tahun itu menghargai Dollah yang sentiasa memberikannya peluang untuk beraksi dalam perlawanan Liga Super pada musim lalu.

Hasilnya, Nik Sharif berjaya menunjukkan prestasi cemerlang sehingga menarik minat beberapa pasukan yang mahu mendapatkan tandatangannya.

“Saya berterima kasih kepada Dollah,” katanya kepada Astro Arena.

“Disebabkan beliau, saya berpeluang menyerlah bakat yang terpendam.

“Kalau berkesempatan, saya akan berikan yang terbaik.”

Nik Sharif juga mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak berhasrat untuk meninggalkan Pahang dengan menyertai pasukan Liga Malaysia yang lain, sebaliknya hanya akan meninggalkan pasukannya jika dapat peluang beraksi di luar negara.

Bagaimanapun, beliau akan berhijrah jika sesebuah pasukan itu memberikan tawaran yang baik dan mahu mencabar dirinya beraksi dengan pasukan yang mempunyai lebih ramai pesaing dan pemain yang berkualiti.

“Saya memang mahu kekal tetapi disebabkan satu dua faktor, ia membuatkan saya berhijrah.

“Sejujurnya, saya mengidamkan untuk bermain di luar negara. Saya akan sertai mana-mana pasukan yang berikan tawaran terbaik.

“Semua pemain Malaysia adalah bagus tetapi kalau tidak cuba, saya tidak tahu sama ada akan gagal atau tidak.”