Liga Super Malaysia Berita

Jangan tamatkan kontrak pemain atas dasar kecederaan dan prestasi – PFAM

PFAM menyeru semua pasukan Liga Malaysia supaya menggunakan kontrak profesional baharu yang baru sahaja berkuatkuasa pada 19 Nov lalu.

CEO PFAM, Izham Ismail berkata pihaknya memberi penekanan lebih jelas tentang status pemain yang tidak boleh ditamatkan kontrak akibat kecederaan dan prestasi.

Katanya, pasukan-pasukan tidak sepatutnya memasukkan terma-terma tambahan yang bercanggah dengan terma-terma asas dalam kontrak baharu ini.

“Biarpun sudah jelas betapa seseorang pemain tidak boleh ditamatkan kontrak atas dasar prestasi, tetapi masih ada pasukan yang melampirkan terma tambahan dengan meletakkan laporan prestasi sebagai syarat penamatan kontrak.

“Hal ini ternyata menyongsang dengan semangat asal kontrak pemain Profesional dan ia seharusnya tidak berlaku.

“Sebagai Persatuan Pemain, PFAM juga ingin mengingatkan kepada semua ahli PFAM, supaya melaksanakan obligasi kontrak dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

“Jangan gunakan klausa-klausa itu sebagai “perisai” untuk para pemain mengambil sikap sambil lewa dalam isu prestasi bersama pasukan.

“Ingatlah, ini adalah periuk nasi anda. Dalam suasana industri bolasepak Malaysia yang semakin mengecil, pasukan kini semakin selektif dalam mengambil pemain, dan sikap sambil lewa serta tidak mahu memberikan prestasi yang terbaik pastinya akan menjejaskan nama anda dan seterusnya menutup peluang bersama pasukan lain di masa akan datang.”

Selain itu, Izham berkata terdapat beberapa pindaan dan klausa baharu diperkenalkan untuk melindungi kebajikan pemain.

Salah satunya merupakan pindaan terhadap klausa yang digunakan oleh Mohamadou Sumareh terhadap bekas majikannya Pahang.

“PFAM telah memasukkan perkara prosedur yang perlu dibuat oleh seseorang pemain yang ingin menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji yang berjumlah lebih dari dua bulan.

“Hal ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkenaan proses penamatan kontrak sepertimana yang telah berlaku kepada seorang pemain naturalisasi pada musim ini.”

Di samping itu, kontrak baharu itu turut memperkenalkan klausa Force Majeure.

“Yang paling utama adalah berkenaan kewujudan klausa Force Majeure, yang mana ia merupakan klausa yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah kontrak bolasepak Malaysia, mengambil iktibar dari peristiwa pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan sangat besar kepada bolasepak tempatan terutamanya terhadap kepentingan pemain dan pasukan.”

PFAM juga menggesa penambahbaikan terhadap prosedur rungutan bagi hal-hal berkaitan kontrak, pelepasan pemain untuk panggilan tugas pasukan kebangsaan dan juga berhubung skim perlindungan insurans yang perlu diberikan perhatian terperinci dalam kontrak.

Satu lagi klausa baharu memperuntukkan untuk menamakan wakil atau intermediari bagi pemain.

“PFAM ingin mengingatkan agar pemain menggunakan intermediari yang sah dan berdaftar bersama FAM, bagi melindungi kepentingan para pemain sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, memandangkan FAM hanya akan mendengar tuntutan terhadap ejen, wakil atau intermediari yang berdaftar dengan FAM sahaja.

“PFAM mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh FAM dan percaya penggunaan kontrak baharu ini akan memberikan situasi menang-menang antara pemain dan pasukan yang seterusnya memelihara profesionalisme bolasepak tempatan.”