Liga Super Malaysia Berita

Terengganu mahu jalin kerjasama dengan Sporting CP

Terengganu dilaporkan berhasrat untuk menjalinkan kerjasama rasmi dengan kelab Portugal, Sporting CP.

Ini selepas Timbalan Presiden I PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya sudah pun mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan.

“Sebenarnya sebelum ini kita sudah ada perbincangan dengan sebuah kelab Portugal iaitu Sporting CP di Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.

“Kedua-dua pasukan sedia untuk bekerjasama dalam beberapa aspek, tapi disebabkan wabak Covid-19, perbincangan lanjut tidak dapat diteruskan.

“Namun begitu PBSNT sedia untuk kembali ke meja rundingan sekiranya keadaan mengizinkan dan ia sudah tentu akan memberi manfaat kepada sukan bola sepak negeri.”

Bagaimanapun, Terengganu masih mencari peluang untuk bekerjasama dengan pasukan dari luar negara.

“Sebelum ini kita juga sudah mengadakan pertemuan dengan sebuah kelab dari Crotia di bawah jurulatih Tomislav Steinbruckner yang juga bekas jurulatih pasukan T-Team.

“Kita juga akan berusaha mencari kelab yang bersesuaian dengan falsafah bola sepak kita dalam misi untuk memajukan sukan bola sepak negeri selain melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sehebat Safawi Rasid.”

Malah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menjadi rakan strategik dengan Terengganu FC dalam beberapa aspek.

“Kerajaan negeri sudah ada hubungan yang cukup baik dengan universiti berkenaan, UniSZA kepakaran dalam sains sukan yang sangat aktif untuk membantu kita manakala UMT dalam jurusan perniagaan dan sebagainya bermula tahun depan kerana sebelum ini hanya dalam sudut pandangan.

“Jadi dengan adunan dan kerjasama itu sudah pasti akan membantu meningkatkan lagi sukan bola sepak negeri.”