Selangor berharap enam pemain baharu dari AMD generasi kedua berusia 17 tahun akan mengikut jejak langkah Luqman Hakim Shamsudin berkelana di Eropah.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata Selangor membuat pelaburan jangka panjang bagi membolehkan para pemain muda mempunyai peluang untuk beraksi di luar negara satu hari nanti.
“Kesemua pemain ini amat berbakat dan merupakan yang terbaik dalam negara bagi kumpulan umur mereka ketika ini,” katanya kepada Bernama.
“Untuk masa depan Selangor, sudah tentu kami ingin menjadikan mereka sebagai pemain yang lebih baik dan menghantar mereka beraksi di luar negara pada suatu hari nanti.
“Bagi kami, ini lebih kepada pelaburan untuk beberapa tahun akan datang dan berharap mereka menyahut cabaran serta bangkit pada kesempatan ini dengan mempamerkan potensi masing-masing kerana perjalanan masih jauh untuk mereka mempersiapkan diri bahkan untuk bermain di luar negara.”
Seramai 12 daripada 40 pelatih generasi kedua AMD menandatangani kontrak antara dua hingga tiga tahun dengan juara Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.
Ziad El Basheer dan Najmudin Akmal Kamal Akmal menandatangani kontrak dengan JDT manakala Muhammad Faiz Amer Runnizar memilih skuad The Red Giants.
“Kami mempunyai rangkaian serta pencungkil bakat kami sendiri untuk melihat kesemua pemain dan menilai prestasi mereka dalam kejohanan di bawah kategori umur mereka,” kata Johan.
“Kami gembira dengan apa yang kami saksikan dan pencungkil bakat juga meminta kami memilih kesemua pemain ini.”
Namun, kata Johan, pemain muda masih memerlukan masa untuk berkembang sebelum dapat beraksi di peringkat senior di Eropah.
“Sudah tentu itu yang kami mahukan… kami ingin meneruskan aspirasi program ini tetapi tidak semestinya untuk beraksi di Eropah.
“Meskipun mereka berbakat namun mereka masih belum bersedia dan kadangkala mereka perlu menjadi lebih matang dalam permainan mereka, jadi kami berharap Selangor boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan pemain-pemain ini.”