Liga Super Malaysia Berita

KBS akui MFL berdepan cabaran kewangan, penarikan diri penaja

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican mengakui MFL berdepan cabaran kewangan untuk saingan Liga Malaysia musim 2021.

Ini selepas MFL dilaporkan bakal kehilangan RM40 juta selepas beberapa penaja seperti CIMB, AirAsia mahu menarik diri malah TM mengurangkan penajaan dari RM30 juta kepada RM15 juta sahaja bermula musim depan.

“Keadaan COVID-19 yang berlaku agak mencabar dan meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada industri sukan apatah lagi bola sepak.

“Ini bukan hanya berlaku di Malaysia, kalau di Australia, Qantas telah menarik tajaan untuk ragbi, toyota nyatakan nak tarik tajaan untuk liga thailand, liga kriket india juga berdepan penarikan tajaan dari Vivo.

“Tidak terkecuali di Malaysia, kita dah ada bantuan awal disalurkan kepada FAM, namun saya secara peribadinya memang mengharapkan aktiviti sukan masih perlu diteruskan kerana menekan butang ‘pause on the spot’, ini memberi isyarat yang barangkali tidak tepat,” katanya di Dewan Rakyat.

Justeru, Reezal berkata pihak KBS dan MSN serta pemegang taruh sedang mengusahakan satu model tentang ‘sport bubble’ yang akan dikemukakan kepada MKN.

“Salah satunya model yang dilaksanakan di luar negara, salah satunya RTK antigen kerana ia 90 peratus kebergantungannya tinggi

“Kalau Tottenham, kelab yang paling saya minati, telah mula menerokai ‘breathalyzer’ dengan meniup nafas dan ia dapat dikesan dalam tempoh seminit, ini antara yang perkara bawa kepada MKN.

“Kerana bolasepak ada ‘eyeball’ paling besar, setiap perlawanan ada 7-8 juta penonton, bayangkan kalau tidak ada yang menyaksikan perlawanan, tentu sekali akan kehilangan nilai komersil dan syarikat penyiaran ‘struggling’ sebab mereka tidak ada konten, sebab itu saya akan pastikan 2021, aktiviti sukan akan tetap diteruskan dan insya-Allah kita yakinkan MKN dengan sport bubble yang baru,” katanya.

Bekas menteri sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga mempersoalkan bagaimana Reezal berancang untuk memastikan sukan dapat terus beraksi, kerana beliau menganggap industri sukan tidak merekodkan sebarang kes tetapi masih tidak dibenarkan beraksi.

“Memang benar, sukan tak ada lagi kluster. Apa yang ada pun kebanyakannya datang dari kluster lain, sebab itu saya perjuangkan supaya gym dibenarkan, sebab secara logik akalnya orang yang menjaga kesihatan tentu sekali akan jadi pematuh yang paling hebat dan tinggi untuk tidak menyebarkan pandemik kepada orang lain.

“Contohnya, Fitness First dan Celebrity First. Selepas tempoh PKPP, ada 600,000 kunjungan, ada satu kes sahaja itupun dari luar.

“Kalau tengok EPL, memang betul Salah kena, saya pun suka dia kena, tapi dia dapat dari luar dan EPL tak ditutup, sebab itu model baru sport bubble adalah satu perkara yang mungkin dapat dipertimbangkan dan insya-Allah saya akan perjuangkan di MKN.”