Global Berita

Dunia bola sepak bersedih di atas pemergian Maradona

Peminat bola sepak di seluruh dunia bersedih apabila menerima berita kematian Diego Maradona di usia 60 tahun.

Mendiang meninggal dunia di rumahnya di Buenos Aires, Argentina selepas mengalami serangan jantung.

Maradona sentiasa dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat di dunia.

Kemahiran penglihatan, hantaran, kawalan bola dan menggelecek bola, digabungkan dengan ketinggian 1.65cm yang memberinya pusat graviti yang rendah membolehkannya melakukan larian lebih baik daripada kebanyakan pemain bola sepak lain.

Kehadiran dan kepemimpinannya dalam bola sepak memberi kesan yang besar pada pasukan yang diwakilinya, sementara dia sering digeruni oleh pihak lawan. Selain kemampuan kreatifnya, dia juga merupakan penyudah yang baik dan dikenali sebagai pakar tendangan bebas.

Maradona turut diberi julukan “El Pibe de Oro” (“The Golden Kid”), nama gelaran yang melekat padanya sepanjang kariernya.

Sebagai seorang pemain yang beroperasi di kedudukan nombor 10 klasik, Maradona adalah pemain pertama dalam sejarah bola sepak yang mencatatkan yuran perpindahan rekod dunia sebanyak dua kali, pertama ketika dia berpindah ke Barcelona dengan catatan dunia iaitu £5 juta, sebelum berhijrah ke Napoli dengan bayaran rekod lain £ 6.9 juta.

Sepanjang kariernya, Maradona sempat bermain untuk Argentinos Juniors, Boca Juniors, Barcelona, ​​Napoli, Sevilla dan Newell’s Old Boys semasa karier kelabnya, dan paling terkenal ketika beliau beraksi di Napoli dan Barcelona di mana dia memenangi banyak kejuaraan.

Beliau juga sempat beraksi di bumi Malaysia apabila Maradona mengetuai pasukan Boca Juniors ketika menewaskan Selangor 2-1 yang ketika itu diketuai oleh Mokhtar Dahari di Stadium Merdeka pada 14 Januari 1982.

Dalam kerjaya antarabangsa dengan Argentina, beliau meraih 91 caps dan menjaringkan 34 gol.

Maradona bermain dalam empat Piala Dunia, termasuk Piala Dunia 1986 di Mexico di mana dia menjadi kapten Argentina dan menewaskan Jerman Barat di final dan memenangi Golden Ball sebagai pemain terbaik kejohanan.

Salah satu kenangan Maradona yang paling diingati peminat adalah pada suku akhir Piala Dunia 1986, apabila dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas England yang mencipta rekod dan kontroversi pada masa yang sama.

Gol pertama adalah apabila Maradona menjaringkan bola menggunakan tangan namun tidak dikesan oleh pengadil sehingga beliau dikenali sebagai “Tangan Tuhan”, sementara gol kedua dijaringkan oleh Maradona ketika menggelecek 60 meter melewati lima pemain England yang akhirnya dipilih sebagai Gol Terbaik Sepanjang Zaman pada 2002.

Selepas bersara, Maradona menjadi jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Argentina pada bulan November 2008. Dia mengendalikan pasukan di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan namun tewas kepada Jerman 4-0 di peringkat suku akhir.

Dia kemudian melatih kelab yang berpangkalan di Dubai, Al Wasl di Liga Pro UAE untuk musim 2011–12, Fujairah pada 2017, Dynamo Brest pada 2018, Mexico Dorados pada 2019 dan akhir sekali mengendalikan kelab Primera División Argentina, Gimnasia de La Plata sehinggalah pada hari kematiannya.