Liga Super Malaysia Berita

Sanusi: Hutang Kedah RM10 juta selesai, tinggal lagi RM5.5 juta

Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor mengesahkan pihaknya sudah berjaya menyelesaikan hutang pasukan sebanyak RM10 juta setakat ini, sejak mengambil alih pada Julai lalu.

Beliau menjelaskan, hutang pasukan Kedah sebenarnya bernilai RM15.5 juta, bukan RM10.6 juta seperti yang dedahkan sebelum ini.

“Pada mulanya saya umum hutang KFA sekitar RM10.6 juta,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kemudian setelah disemak secara terperinci hutang itu meningkat kepada RM14 juta. Terkini, selepas ada pihak tampil kemudian kemukakan dokumen berkaitan, hutang itu cecah kepada RM15.5 juta.”

Penyelesaian hutang itu juga meliputi semua tunggakan gaji bagi April, Mei dan Jun untuk pemain dan kakitangan pasukan berjumlah RM4.8 juta.

“Selepas ini pemain tidak lagi dibelenggu masalah kewangan akibat gaji tidak dibayar, mereka dapat fokus kepada pemainan. Soal pengurusan biar kami uruskan, pemain hanya perlu pamerkan kecemerlangan agar Kedah kembali muncul sebagai pasukan digeruni.”

Selain itu, tunggakan bayaran sebanyak RM800,000 turut dilangsaikan membabitkan perkhidmatan dengan beberapa buah syarikat seperti pengangkutan, agensi pelancongan, konsultan serta ejen.

“Kita berjaya selesaikan hutang itu dengan kerjasama penaja-penaja serta syarikat yang tampil memberi komitmen untuk bantu KFA, tanpa gunakan sesen pun dari kantung kerajaan negeri.”

Kedah dilaporkan sudah mempunyai pemilik baharu yang berminat untuk membeli 80 peratus saham pasukan, dengan 20 peratus lagi dimiliki Kedah FA.