Safawi Rasid tersenarai buat pertama kali dengan skuad utama Portimonense, namun hanya sekadar memanaskan bangku simpanan ketika berdepan Porto dalam saingan Liga Primeira, malam tadi.
Anehnya, akaun media sosial Portimonense itu memuatnaik gambar jersi Safawi dan gambar Safawi tersenyum seolah-olah pemain berusia 23 tahun itu akan beraksi dalam kesebelasan utama.
Namun, ia akhirnya menjadi harapan palsu apabila Safawi langsung tidak dipanggil untuk menjadi pemain gantian sepanjang perlawanan.
Walaupun Portimonense bermula dengan baik apabila mendahului perlawanan pada minit ke-14 menerusi Beto, Porto bangkit di separuh masa kedua dengan tiga jaringan menjadikan keputusan 3-1 selepas tamat perlawanan.
Kekalahan itu juga membuatkan Portimonense menduduki tempat terakhir liga selepas mencatatkan lima kekalahan, satu menang dan satu seri dalam tujuh perlawanan dengan mengumpul hanya 4 mata.
Mungkin sudah sampai masa jurulatih Portimonense mencuba pemain lain. Sampai bila Safawi harus menunggu gilirannya?