Liga Premier Malaysia Berita

Sarawak United nafi tarik diri dari Liga Malaysia

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mengesahkan Sarawak United tidak akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim depan.

Ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa mereka akan menarik diri, malah CEO MFL, Datuk Ghani Hassan juga mengesahkan Sarawak United tidak menghantar sebarang surat penarikan diri secara rasmi.

Beliau berkata, Sarawak akan terus bersaing dalam liga bolasepak profesional dan akan berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kewangan pasukan.

“Sarawak mempunyai sejarah tersendiri dalam saingan bola sepak tanah air,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kami bukan hanya akan memberi cabaran pada saingan Liga-M 2021 tetapi juga musim-musim seterusnya.”

Posa juga menegaskan pihaknya sedang meneliti segala masalah yang dihadapi pasukan.

“Sekali lagi ingin saya tegaskan di sini bahawa FAS akan mengambil pelbagai tindakan proaktif dalam menyelesaikan segala masalah melibatkan barisan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan ini.

“Sama seperti beberapa persatuan bola sepak lain yang berdepan masalah kewangan, Sarawak juga berdepan situasi sama. Tetapi saya optimis FAS mampu menyelesaikan segala masalah berbangkit.

“Mengenai pelesenan kelab bersyarat pula, kami juga dalam proses melengkapkan beberapa perkara lagi yang dijangka akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.”

Sarawak United menamatkan saingan Liga Premier di tangga ke-10 dengan mengumpul 11 mata dari 11 perlawanan.