Malaysia Berita

FAM rancang adakan kem latihan untuk skuad kebangsaan

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya merancang untuk mengadakan kem latihan skuad kebangsaan pada hujung bulan, sebaik sahaja saingan Piala Malaysia berakhir pada 22 Nov ini.

Kem latihan itu bagaimanapun dirancang hanya akan diadakan dalam tempoh yang singkat dan hanya bertujuan untuk mengeratkan pemain skuad kebangsaan selepas setahun tidak berlatih bersama.

“Ada perbincangan dalaman untuk adakan mungkin kem latihan pendek,” katanya kepada Harian Metro.

“Ini disebabkan tak ada tugasan antarabangsa melibatkan pasukan negara sepanjang tahun dari tahun lepas.”

Stuart juga mendedahkan bahawa kem latihan ini tidak bersifat kompetitif seperti sebelum ini, malah segala perancangan bergantung kepada status kes COVID-19 di negara ini.

“Ini bukan macam latihan penuh tetapi ia macam ‘gathering’ antara pemain kebangsaan kita dan ia mungkin kem yang pendek.

“Kalau kes dan status semasa COVID-19 nanti nampak okey, kita mungkin boleh laksanakan satu latihan buat skuad negara. Tetapi buat masa ini ia hanya perancangan dan tak ada apa-apa keputusan akhir lagi.

“Kita pun masih peka dengan negeri-negeri dan zon-zon yang terbabit dengan Covid-19. Sukar kita nak tentukan sekarang, sebab bila-bila masa kawasan hijau boleh tukar jadi kawasan merah. Ia belum muktamad lagi.”

Skuad kebangsaan sepatutnya beraksi dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac lalu, namun ditunda sehingga ke Oktober akibat wabak COVID-19.

Namun, pada bulan Sept, FIFA dan AFC membuat keputusan untuk menunda pusingan kelayakan sekali lagi ke Mac tahun depan.

Malah, saingan Piala AFF Suzuki yang sepatutnya diadakan pada Disember ini ditunda ke April 2021.