Liga Super Malaysia Berita

Selangor FA dapat RM20 juta dari kerajaan negeri

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk Selangor FA (FAS), bagi tujuan pembangunan bola sepak negeri.

RM10 juta daripada peruntukan tersebut adalah dari kerajaan negeri dan RM10 juta lagi sumbangan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata pihaknya sedang berusaha mencari dana tambahan sekurang-kurangnya RM10 juta.

“Kita berterima kasih kepada sokongan kerajaan negeri dan kita akan mencari lagi penajaan untuk musim depan,” katanya kepada Berita Harian.

“Kita akan memanfaatkan sebaiknya dana yang diperoleh untuk memastikan pembangunan bola sepak di Selangor ditingkatkan lagi termasuk pusat latihan skuad Merah Kuning.

“Kita akan berusaha meningkatkan kualiti jabatan teknikal, memampankan pembangunan elit pemain muda Selangor dan menaik taraf fasiliti di Pusat Latihan FAS.”

Johan juga mendedahkan pihaknya akan mengumumkan pelantikan jurulatih baharu Selangor tidak lama lagi.

“Kita sudah ada senarai akhir membabitkan dua atau tiga jurulatih yang berpotensi. Insya-Allah kita akan muktamadkan seminggu dua lagi.”