Liga Super Malaysia Berita

Kedah dapat pemilik baharu, dianggar beli saham hingga RM30 juta

Kedah dilaporkan bakal mempunyai pemilik baharu dalam tempoh dua minggu lagi, menurut Bernama.

Pemilik baharu itu merupakan sebuah syarikat swasta yang bersetuju untuk membeli sebanyak 80 peratus saham pasukan, dengan 20 peratus lagi dimiliki oleh Kedah FA.

Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor berkata, perjanjian secara rasmi bagaimanapun belum dapat dilaksanakan kerana terdapat prosedur perundangan yang sedang dimuktamadkan.

“Syarikat berkenaan akan mengendalikan pembiayaan pasukan untuk musim depan,” katanya kepada Bernama.

“Oleh kerana saham mereka besar, maka banyak keputusan berkaitan kelab akan dibuat syarikat ini.

“KFA pula akan fokus kepada liga tempatan misalnya liga Piala Menteri Besar yang akan diadakan semula pada tahun depan.”

Sanusi berkata, soal terma-terma dan syarat masih diperhalusi oleh peguam kedua-dua pihak.

“Proses penswastaan kelab bola sepak adalah kali pertama pernah dilakukan, jadi kita tiada rujukan daripada sesiapa dan sebab itu ia mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.”

Sanusi mengakui beliau tidak mengetahui jumlah tepat pembelian saham pasukan, namun menganggarkan ia mencecah RM30 juta.

“Saya juga sudah arahkan, sebelum penjualan kena tahu kemampuan sebenar kewangan, sebab penyusunan pasukan musim lepas di luar kemampuan, jadi hutang tertunggak dan berlaku tunggakan gaji.

“Saya sasarkan RM25 juta untuk pembiayaan pasukan tetapi ini terserah kepada pemilik, kalau hendak melabur lebih.”