Liga Super Malaysia Berita

TMJ: Liga Malaysia tidak lalui proses penswastaan sebenar

Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap pasukan Liga Malaysia tidak melalui proses penswastaan yang sebenar.

Ini selepas beberapa pasukan telah melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC.

Namun TMJ mendakwa ada yang masih bergantung kepada dana kerajaan, tidak seperti pasukan JDT yang menjana pendapatan sendiri sepenuhnya.

“Saya berasa bangga mengemudikan sebuah kelab bola sepak yang tidak bergantung kepada dana kerajaan,” kata TMJ menerusi laman media sosial Johor Southern Tigers.

“Malah, JDT telah menolak penggunaan dana kerajaan negeri sejak 2013 kerana ianya adalah wang rakyat dan seharusnya digunakan untuk keperluan lain yang lebih memanfaatkan rakyat, terutama ketika waktu getir seperti pandemik Covid-19 yang menjejaskan kesemua lapisan masyarakat.

“Saya berbangga kerana JDT mempunyai strategi perniagaan tersendiri termasuk dari sudut komersil untuk menjana dana dan melabur dalam projek jangka panjang dan bukannya hanya menunggu kerajaan negeri untuk membina infrastruktur malah mengeluarkan dana setiap tahun.”

Justeru, TMJ menempelak pengurusan pasukan lain yang dilihat tidak ikhlas mahupun benar-benar serius untuk memajukan bola sepak profesional negara.

“Apa yang sedang berlaku dalam industri bola sepak Malaysia bukanlah penswastaan yang sebenar. Ianya cuma gambaran dimana perkara yang berubah hanyalah di atas kertas tetapi amalan lama masih diteruskan dan tetap mengharapkan dana kerajaan.

“Apabila saya mewujudkan JDT dan menswastakannya pada tahun 2013, terdapat sebilangan orang yang mempersendakan kami.

“Sekarang JDT sudahpun mencatat pelbagai kejayaan di dalam dan di luar padang sementara pasukan lain hanya pada hari ini, 2020 memikirkan tentang logo baru mereka.”