Liga Super Malaysia Berita

Aidil Sharin kekal di Kedah

Aidil Sharin membuat keputusan untuk kekal di Kedah apabila beliau bersetuju menandatangani kontrak dua tahun bersama pasukan dari Utara Malaysia itu.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi perpindahannya ke pasukan lain pada musim depan.

Aidil menyifatkan kejayaan meraih tempat kedua dalam Liga Super yang melayakkan Kedah beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan antara faktor utama beliau mahu terus bersama dengan pasukan itu.

Beliau kini hanya perlu menunggu majlis menandatangani kontrak baharu.

“Baru-baru ini perbincangan diadakan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA),” katanya kepada Bernama.

“Setakat ini kami bersetuju dan saya hanya menanti masa untuk menandatangani kontrak baharu.

“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana terus memberi kepercayaan untuk saya mengendalikan pasukan Kedah.”

Aidil juga mendedahkan sikap pengurusan yang menunjukkan kesungguhan tinggi untuk menambahbaik pasukan serta berusaha untuk mengekalkan kira-kira 90 peratus pemain sedia ada turut menjadi faktor beliau mahu kekal di Kedah.