Liga Super Malaysia Berita

Luciano Figueroa tinggalkan JDT, ucap terima kasih kepada TMJ dan penyokong

Luciano Figueroa membuat keputusan untuk meninggalkan JDT dan pulang ke negara asalnya Argentina kerana komitmen keluarga.

Ini sekali gus menamatkan khidmatnya sebagai pengurus pasukan sejak Ogos 2018.

“Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa sayangnya masa saya di Johor telah berakhir disebabkan perlu kembali ke Argentina kerana komitmen keluarga,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim serta para penyokong atas sokongan tidak berbelah bahagi yang saya perolehi sebagai pemain dan pengurus.

“Saya pergi dengan penuh kenangan manis dan saya amat terharu dengan penamaan sebuah ‘stand’ di Stadium Sultan Ibrahim bersempena nama saya.

“Ia sebuah perjalanan yang indah, memenangi banyak piala dan menjalin banyak hubungan rakan-rakan baharu yang kini saya panggil keluarga.

“Saya percaya Benjamin Mora, yang merupakan sebahagian kunci utama kejayaan JDT dalam pelbagai cara di belakang tabir baru-baru ini, Pengarah Teknikal, Pengarah Sukan dan tentu sekali DYAM Tunku Mahkota Johor akan terus membawa kejayaan kepada kelab. Selamat maju jaya buat JDT dan semoga kita akan bertemu semula di masa akan datang.”

Luciano menyertai JDT pada Disember 2013 menjadi salah satu pemain kegemaran peminat apabila menjaringkan 43 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 71 perlawanan.

Hasilnya, beliau memenangi dua kejuaraan Liga Super Malaysia 2014 dan 2015, Piala Sumbangsih 2015 dan Piala AFC 2015 sebelum bersara dan dilantik sebagai duta kelab pada 2017.

Beliau kemudian keluar dari persaraan pada 2018 dan membantu JDT menjuarai Piala Sumbangsih 2019 dan Liga Super 2019.

Luciano kemudiannya dilantik sebagai pengurus pada Ogos 2018, dengan JDT menjuarai Piala Sumbangsih 2019 dan 2020, Liga Super 2019 dan juara Piala Malaysia 2019 serta juara Liga Super 2020.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut merakamkan penghargaannya kepada Luciano di atas jasa dan pengorbanannya sepanjang berada di JDT.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Luciano Figueroa atas khidmat beliau kepada kelab sebagai pemain, duta dan pengurus dari tahun 2014-2020.

“Walaupun sedih melihat seorang legenda pergi meninggalkan kita, saya memahami keputusan Figueroa untuk kembali ke Argentina atas urusan keluarga.

“Figueroa, seorang yang telah banyak memberikan sumbangan kepada JDT, merupakan duta seumur hidup kepada JDT dan sentiasa akan mempunyai tempat di JDT.

“Terima kasih atas 43 jaringan gol dan 14 ‘assist’ dalam 71 perlawanan. Terima kasih atas empat kejuaraan Liga Super Malaysia, tiga Piala Sumbangsih, Piala Malaysia 2019 dan yang paling bermakna, Piala AFC 2015. See you again, my friend!”

Dalam sidang media, TMJ berkata kekosongan jawatan pengurus yang ditinggalkan oleh Luciano akan diisi oleh ketua jurulatih pasukan, Benjamin Mora bermula musim depan.

“Kami menghormati keputusan beliau dan pintu sentiasa terbuka, tak kisah apa jawatan untuk Luciano memandangkan dia adalah official ambassador untuk kelab.

“Benjamin Mora akan ambil tugas sebagai pengurus dan akan ada seorang lagi penolong jurulatih membantu dia.

“Akan ada jabatan baru untuk memberi tumpuan kepada kecergasan dan pemakanan pemain dan akan bekerjasama dengan ketua jurulatih dan jurulatih kecergasan untuk memberi fokus kepada setiap pemain dari segi keupayaan fizikal.”