Liga Super Malaysia Berita

Rakyat United mohon lesen kelab dari FAM

Pihak pengurusan Rakyat United dilaporkan telah menghantar dokumen bagi mendapatkan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia, sebagai pasukan yang dijenamakan semula daripada Felda United.

Bagaimanapun, setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya perlu memperhalusi permohonan dan dokumen yang dihantar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Malah, status Rakyat United bergantung kepada kedudukan Felda United yang masih belum mengesahkan status penarikan diri dari Liga Malaysia musim depan.

“Pasukan Rakyat United belum sah lagi tapi terdapat banyak khabar angin mengenai status pasukan itu,” katanya kepada Astro Arena.

“Tetapi buat masa ini, masih tiada kedudukan rasmi buat Rakyat United.

“Ia disebabkan jika mereka mengambil alih Felda United sekalipun, status Felda United juga masih belum diluluskan.

“Jadi, saya rasakan adalah terlalu cepat untuk menggerakkan projek Rakyat United ini.”

Stuart berkata, keputusan dari segi penjenamaan semula Felda United terletak di bawah MFL.

“MFL ada kuasa terhadap semua pemegang taruhnya, iaitu semua ahli dan pasukan dalam liga.

“Sebagai badan pengelola Liga Malaysia, mereka mempunyai kuasa untuk bertanya dan memastikan proses penjenamaan semula atau pengambilalihan itu dijalankan secara betul.”