Luar Negara Berita

Sumareh dedah sebab beliau pilih Police Tero

Buat pertama kalinya, Mohamadou Sumareh mendedahkan sebab beliau menyertai Police Tero FC.

Pemain berusia 26 tahun itu juga menerima tawaran daripada pasukan Thailand yang lain, selepas kontraknya dengan Pahang ditamatkan dengan penuh kontroversi, dua bulan yang lalu.

Disebabkan MFL menutup jendela perpindahan Liga Malaysia musim ini, beliau perlu beraksi di liga luar negara terlebih dahulu sebelum kembali semula ke tanah air.

“Saya perlu menunggu sehingga tahun depan untuk bermain,” katanya kepada Bernama.

“Memandangkan saya mahu terus bermain bola sepak dan jendela perpindahan di Thailand dibuka, maka saya datang untuk mendapatkan pendedahan dan meneroka sesuatu yang baharu di peringkat lebih tinggi.”

Namun bagi Sumareh, beliau menganggap Police Tero menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk mendapatkan khidmatnya.

“Police Tero menunjukkan minat yang tinggi terhadap saya. Mereka berusaha keras. Mereka menyediakan semua dokumen diperlukan untuk membolehkan saya ke Thailand dari Malaysia.

“Saya terhutang budi dengan mereka. Saya puas hati kerana memilih Police Tero dan saya gembira kerana membuat keputusan yang betul.”

Sumareh menyertai Police Tero FC pada 7 September lepas, tiba di Bangkok pada 29 Sept selepas diberikan visa untuk terbang ke Thailand.

Beliau baru sahaja memulakan latihan pertama bersama kelab Thailand itu minggu ini selepas tamat menjalani kuarantin wajib 14 hari di Bangkok.

Namun, Sumareh mengakui perlu membina semula keyakinan dan tahap kecergasannya selepas lama tidak beraksi.

Bagaimanapun beliau tidak berasa terlalu asing di Bangkok, apabila ditemani seorang lagi pemain pertahanan negara, Dominic Tan.

“Saya bertemu dengan orang dikenali. Saya tidak berasa asing di sini. Dominic memperkenalkan saya kepada semua pemain. Dia membantu saya dan memudahkan saya bergaul dengan rakan sepasukan.”

Sumareh juga akui walaupun beliau mungkin tidak akan beraksi lama di Thailand, beliau mahu memberikan kenangan manis buat peminat.

“Saya mungkin tidak berada di sini sehingga tamat musim namun selagi saya di sini, saya akan memberikan yang terbaik untuk menang dalam perlawanan. Saya tidak akan mengecewakan mereka…Saya berharap dapat beraksi dalam perlawanan. Saya mahu tinggalkan legasi di sini.

“Sama ada saya yang menjaringkan gol atau membantu, yang penting pasukan mengutip tiga mata.”