Liga Premier Malaysia Berita

Norizam langsai hampir RM200,000 tunggakan gaji Piala Presiden, Piala Belia Kelantan

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman melangsaikan segala tunggakan gaji yang melibatkan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Penyelesaian itu dibuat menerusi syarikat yang menguruskan pasukan itu, TRW Sdn Bhd dua hari sebelum tarikh tamat proses penswastaan kelab yang akan berakhir pada 30 Sept.

“TRW Sdn Bhd ingin mengumumkan bahawa kami telah membayar kesemua tunggakan gaji pemain, jurulatih, pegawai Piala Presiden dan Piala Belia yang berkhidmat pada musim 2019 dan 2020 berjumlah RM195, 476,089, yang merupakan sebahagian daripada wang pendahuluan RM3.8 juta yang diberikan kepada KAFA.

“Terdapat 124 nama pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang telah menandatangani borang dan akan menerima bayaran tersebut.”

Penyelesaian tunggakan gaji itu merupakan salah satu usaha Norizam untuk membebaskan Kelantan daripada belenggu hutang dan membolehkan pasukannya melengkapkan proses penswastaan kelab.