Liga Super Malaysia Berita

Mora tidak sabar julang trofi Liga Super 2020 di depan TMJ, peminat JDT

Kekalahan pencabar terdekat, Kedah 1-2 kepada Pahang meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya memerlukan satu sahaja lagi mata daripada baki dua perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Biarpun JDT sekadar meraih keputusan seri 2-2 bertemu PJ City pada Jumaat, namun berbekalkan pungutan 23 mata, skuad Harimau Selatan ini berada dalam kedudukan yang cukup selesa dengan enam mata berkelebihan ke atas Perak selain mempunyai margin perbezaan gol yang besar iaitu 17 berbanding 3.

Justeru, sebarang mata bertemu Sabah di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat sudah mencukupi buat JDT terus menutup ruang kepada Perak untuk memintas kedudukan mereka.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, akur dengan keputusan seri itu yang bermakna mereka perlu fokus mencari tiga mata di laman sendiri menentang Sabah pada 2 Oktober sebagai pengakhiran manis kepada skuad Harimau Selatan.

“PJ City nyata mampu memberikan cabaran, dan kami berdepan sedikit masalah pada situasi bertahan apabila lawan melakukan serangan balas dan pada separuh masa kedua, barulah kami mendapat rentak serta bermain lebih tersusun.

“Sebagai jurulatih, saya memang ingin menang semua perlawanan, tidak kira di mana sahaja tetapi realitinya kami tidak boleh menang selalu dan mungkin perkara yang positifnya, kami boleh mengesahkan kejuaraan di tempat sendiri.

“Saya sama sekali tidak akan memandang rendah keupayaan Sabah nanti walaupun mereka berdepan prestasi yang kurang menjadi pada musim ini tetapi semangat beraksi di Stadium Sultan Ibrahin diharap mampu membantu kami mendapat 3 mata berharga untuk menjulang trofi di hadapan bos kami (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) selain kepada semua peminat JDT.

Dalam pada itu, K. Devan yang teruja melihat persembahan pemainnya mengharapkan mereka boleh memungut enam mata maksimum dalam dua aksi selepas ini, bertemu UiTM FC dan PDRM.

“Saya cukup berbangga dengan pemain saya kerana menunjukkan tahap permainan bola sepak yang berbeza berdepan dengan pasukan terbaik di Liga Malaysia dan aksi hari ini bukan berat sebelah kepada sesiapa.

“Jika pemain PJ City boleh kekalkan prestasi sebegini, saya yakin kami boleh mendapatkan kemenangan dalam dua perlawanan selepas ini dan perbaiki kedudukan carta liga, ” katanya.

Dalam perlawanan itu, gol jaringan PJ City disumbangkan Christie Jayaseelan pada minit-37 dan K. Gurusamy pada minit 45+1 manakala JDT menerusi Safawi Rasid pada minit-35 serta Gonzalo Cabrera pada minit-45+4.

JDT akan bertemu Sabah pada Jumaat ini sebelum menamatkan saingan Liga Super musim ini berdepan Melaka United pada 10 Oktober.