Liga Super Malaysia Berita

Nidzam Adha: KL jaga kebajikan pemain, bantu kami layak ke Liga Super

Kuala Lumpur mengiringi Pulau Pinang ke saingan CIMB Liga Super musim depan apabila meraih kemenangan dramatik 5-4 ke atas Selangor 2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Tiga mata itu sudah mencukupi buat skuad warga kota meninggalkan pencabar terdekat, Kelantan yang berada di tangga kelima dengan 11 mata, perbezaan 9 mata dengan hanya dua lagi baki perlawanan untuk diharungi.

Malah, kemenangan itu juga terus menghidupkan peluang buat Kuala Lumpur untuk terus mengintai kejuaraan Liga Premier dengan pendahulu, Pulau Pinang masih kebal di tangga teratas selepas menang 2-1 ke atas UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada Jumaat lalu.

Pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, gembira dengan kejayaan layak ke CIMB Liga Super kerana pemain pernah berjanji pada awal musim kepada pihak pengurusan yang mereka mahu hanya satu musim sahaja di Liga Premier selepas tersingkir dari Liga Super, musim lalu.

“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang menjaga kebajikan pemain dan keadaan itu membantu pemain bekerja keras sepanjang musim ini bagi realisasikan impian serta janji yang telah dinyatakan iaitu layak ke Liga Super

“Berbaki dua perlawanan lagi, kami akan cuba mendapatkan enam mata maksimum untuk cuba mengejar kedudukan pendahulu liga serta kita tengok bagaimana peluang kita namun secara keseluruhan, saya telah berpuas hati kerana kita akan ke Liga Super, musim depan,” katanya.

Namun, Nidzam kurang berpuas hati dengan kerapuhan di barisan pertahanan sehingga membenarkan lawan mendapat empat gol termasuk tiga jaringan dalam tempoh lima minit.

“Ketiadaan Paulo Josue dan Shukor Adan memang buatkan aksi kami kucar kacir kerana tiada jeneral yang boleh bagi arahan di atas padang dan kami akan analisis perlawanan ini sepenuhnya kerana terkejut bagaimana lawan boleh dapatkan tiga gol dalam tempoh yang singkat.

“Tidak pernah kami bolos empat gol dalam satu perlawanan setakat ini namun saya gembira pengalaman yang ada pada Indra Putra Mahayuddin menjadi penyelamat kepada kita hari ini sebelum mereka bangkit raih kemenangan, “ katanya.

Pemain tengah Selangor 2, Syazwan Salihin mengejutkan Kuala Lumpur pada minit keempat sebelum Kuala Lumpur melakar tiga jaringan melalui Fakrul Aiman(minit ke-33), Nicolas Dul (minit ke-34) dan Francis Kone (minit ke-41).

Pelawat bagaimanapun menghukum kelonggaran benteng Kuala Lumpur pada minit-62 dan 68 oleh Bajram Nebija serta Danial Asri, minit-66 sebelum jaringan sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin, minit-71 serta Muhd. Izreen, minit-79 memastikan tiga mata millik Kuala Lumpur.

Sementara itu, Casagrande dan Endrick dos Santos terus menjadi nadi kekuatan Pulau Pinang apabila jaringan masing-masing pada minit 48 dan 66 memadamkan gol pendahuluan UKM FC pada minit 17 oleh Akanni Sunday Wasiu bagi terus memastikan jurang tiga mata ke atas Kuala Lumpur terus dipertahankan.

Dalam pada itu, Kuching FA terus mencipta kejutan apabila mencatat kemenangan buat kali ketiga berturut-turut bagi menghidupkan peluang memburu slot ke TM Piala Malaysia.

Kali ini, Negeri Sembilan pula menjadi mangsa walaupun skuad Hobin Jang Hobin itu beraksi di laman sendiri, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi apabila tunduk 2-4 kepada Kuching FA.

Penyerang dari Brazil, Bryan Jones, meraih tumpuan apabila mnejaringkan dua gol pada minit-12 dan 22 selain Hudson de Jesus pada minit-21 serta Jimmy Raymond, minit-28 manakala gol Negeri Sembilan daripada Mattheus Fernandes pada minit 25 dan 50.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung pada Jumaat memperlihatkan Kelantan berhempas pulas sebelum meraih kemenangan tipis 1-0 berdepan Sarawak United FC di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, hasil sepakan penalti yang disempurnakan Nazrin Nawi pada minit-84.

Pertarungan membabitkan dua pasukan Reserve Team, JDT II dan Perak II memperlihatkan kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Fernando Rodriguez meletakkan JDT II di hadapan pada minit 24 sebelum penyerang import dari Perancis, Sacha Petshi memastikan Perak II pulang ke Ipoh dengan satu mata menerusi gol penyamaan pada minit-64.

Satu-satunya perlawanan yang berlangsung pada Ahad di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kelantan United FC terus kempunan mendapatkan kemenangan di bawah pengendali baharu, Nazrulerwan Makmor apabila tewas 2-3 kepada Terengganu FC II(TFC II).

Walaupun bermula baik dengan gol pendahuluan Khairul Izuan Rosli pada minit-16, tuan rumah terpaksa akur dengan kehebatan TFC II yang mencipta tiga jaringan melalui Engku Nur Shakir pada minit-23 serta Jordan Mintah, minit-24 dan 45 sebelum Alfusainey Gassama merapatkan jurang pada minit-63 tetapi belum mampu menghalang kemenangan pasukan pelawat.