Liga Super Malaysia Berita

Disebabkan pertukaran kerajaan negeri, Peter Anthony letak jawatan Presiden Sabah FA

Datuk Peter Anthony membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA), berkuatkuasa secara serta-merta.

Keputusan itu dibuat susulan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan gabungan parti Warisan Plus yang diwakili Peter tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus menyebabkan berlakunya pertukaran tampuk pemerintahan negeri itu.

Perkara yang sama juga akan berlaku kepada pentadbiran Sabah FA, yang biasanya diterajui oleh pemimpin kerajaan negeri.

“Dengan situasi dan semua yang sedang berlaku termasuk kesibukan saya dalam urusan politik, saya rasa perlu berehat buat sementara waktu,” katanya kepada Sinar Harian.

“Justeru itu, saya dengan ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden SAFA berkuatkuasa serta merta bermula hari ini.”

Peter juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu beliau menerajui pentadbiran Sabah FA sejak mula memegang jawatan itu pada hujung tahun 2018.

Malah, beliau sempat memuji prestasi Sabah yang meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Melaka baru-baru ini.

“Bukan mudah untuk bangkit selepas setengah tahun saingan Liga Super berehat tetapi Sabah sudah kembali dengan kemenangan.

“Tahniah buat pasukan kerana akhirnya dapat mencatat kemenangan seterusnya membuka semula peluang untuk sekurang-kurangnya kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Peter juga percaya, beliau meninggalkan persatuan itu dalam keadaan baik dan berharap pentadbiran baharu akan meneruskan kesinambungan itu pada masa akan datang.

“Saya telah melakukan yang terbaik dan termampu bagi pasukan Sabah dan berharap Sabah FA akan terus maju bersama anggota pentadbiran baharu pada masa akan datang.”

Di bawah pentadbiran Peter, Sabah FA berjaya melunaskan kesemua bebanan hutang yang dilaporkan bernilai jutaan ringgit yang membelenggu persatuan itu sebelum ini.

Prestasi di atas padang pula menyaksikan Sabah beraksi cemerlang sehingga menjadi juara Liga Premier musim 2019, kejuaraan pertama yang dimenangi pasukan itu selepas 23 tahun.

Ia juga memberikan Sabah peluang untuk beraksi di Liga Super semula selepas tujuh tahun berada di liga divisyen kedua.

Sabah merupakan salah satu pasukan yang terkesan dengan pertukaran tampuk pemerintahan kerajaan negeri, selepas Perak, Melaka dan Kedah.

Hanya pertukaran kerajaan negeri Johor yang tidak memberi kesan langsung kepada JDT.

Sabah FA bagaimanapun sempat menyelesaikan proses penswastaan kelab dan pemisahan FA ke FC sebelum berlaku pertukaran kerajaan.