Liga Super Malaysia Berita

Ingat, proses penswastaan tamat pada 30 Sept, jam 12 malam – FAM

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sekali lagi memberi peringatan bahawa pasukan Liga Malaysia hanya mempunyai tempoh sehingga 11.59 malam pada 30 Sept untuk melengkapkan segala proses pelesenan kelab dan penswastaan pasukan.

Beliau menegaskan bahawa semua pasukan sudah pun diberikan tempoh lanjutan yang mencukupi selama 15 hari iaitu selepas tarikh tamat tempoh sebenar berakhir pada 15 Sept lalu.

“Sebelum ini pihak FAM telah pun melanjutkan tarikh akhir bagi proses pelesenan sehingga 30 September,” katanya kepada Harian Metro.

“Ini bagi memudahkan urusan pasukan-pasukan terbabit seperti permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) di negeri itu.

“Bagaimanapun, tarikh 30 September ini adalah penamatnya. Ia juga adalah tarikh akhir bagi urusan proses penswastaan kelab melibatkan pertukaran status daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

“Ingin saya ingatkan bahawa tarikh akhir itu juga adalah tarikh akhir bagi kesemua pasukan (FA) yang belum selesaikan proses pelesenan, bukan hanya Kedah.”

Selepas 30 Sept, Jawatankuasa Khas Pelesenan Kelab Profesional FAM akan menyemak kesemua dokumen yang diserahkan oleh pasukan Liga Malaysia terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung status setiap pasukan dalam liga masing-masing.