Liga Super Malaysia Berita

Kontroversi pengadilan Liga Malaysia kembali jadi tumpuan

Nampaknya mutu pengadilan kembali menjadi tumpuan peminat, terutamanya ketika perlawanan Terengganu dan JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam saingan Liga Super, sehingga mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ini selepas beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim menimbulkan rasa tidak puas hati kedua-dua belah pasukan.

TMJ berpendapat penyerang Terengganu, Dominique Da Sylva sepatutnya dilayangkan kad merah kerana didapati melakukan kesalahan mengangkat kaki dengan begitu tinggi sehingga terkena ke dada Natxo Insa.

“Tahniah Terengganu. Masa depan yang cerah buat Terengganu. Sikap profesionalisme yang tinggi oleh ketua pasukan dan potensi yang tinggi oleh pemain muda,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

“Bukan mudah untuk JDT. Pengadil teruk dan tidak mengawal permainan dengan baik. Sepatutnya satu atau dua penalti buat Terengganu dan kad merah terhadap penyerang Terengganu.

“Apa pun perlawanan sudah tamat. Tahniah kepada kedua-dua pasukan. Padang dan stadium ‘first class’. Tahniah dan terima kasih.”

Pada masa sama, TMJ juga menganggap Terengganu berhak mendapat penalti selepas Insa didapati mengasari Da Sylva.

Walaupun isu mutu pengadilan yang serius hanya berlaku buat pertama kali pada musim ini, kesilapan-kesilapan yang dilakukan pengadil perlawanan itu boleh dianggap sebagai kesilapan mudah yang tidak sepatutnya berlaku.

Ia juga menimbulkan rasa kurang senang segelintir peminat yang sudah tentu akan mendakwa bahawa pengadil bersikap berat sebelah dan memihak kepada pasukan tertentu.