Liga Super Malaysia Berita

Liga Super: JDT, Perak mahu tiga mata di Stadium Sultan Ibrahim

Pendahulu Liga Super, JDT mahu meneruskan rekod tanpa kalah dengan meraih tiga mata malam ini, namun ia bukan mudah kerana pihak lawannya Perak turut mahu membawa pulang mata, walaupun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.

Prestasi bahagian serangan JDT dilihat berada dalam keadaan baik, namun dikejutkan dengan kerapuhan benteng pertahanan apabila bolos dua gol ketika menewaskan Pahang 3-2 minggu lalu.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu perkara yang membimbangkan buat Afiq Fazail.

“Saya dan rakan sepasukan telah pun bersedia untuk perlawanan menentang Perak,” katanya menerusi akaun Facebook rasmi milik Johor Southern Tigers.

“Kami akan memberikan sepenuh komitmen sepanjang perlawanan berlangsung. Setiap apa yang kami lakukan ketika sesi latihan akan dipratikkan ke dalam padang sepanjang perlawanan berlangsung.

“Tiga mata adalah amat penting untuk setiap perlawanan lebih-lebih lagi apabila bermain di halaman sendiri. Walaupun kami bermain tanpa kehadiran para penyokong namun kami tahu sokongan mereka akan tetap bergema di seluruh stadium.”

Perak pula masih mencari rentak baik di bahagian serangan mahupun di bahagian pertahanan, selepas tewas mengejut kepada Melaka 1-0 di laman sendiri.

Namun kapten pasukan, Shahrul Saad enggan mengalah terlalu awal apabila berdepan JDT malam ini.


“Selepas kami tewas kepada Melaka, kami telah membuat penambahbaikan dalam permainan,” katanya kepada Astro Arena.

“Ia akan dijelmakan ketika berdepan JDT sekaligus meraih mata dalam perlawanan malam ini.

“JDT memiliki barisan pemain yang berpengalaman, ia merupakan tugasan saya bersama rakan sepasukan yang lain untuk memastikan Perak dapat menyerap tekanan pasukan lawan.”