Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers papar kisah kejayaan JDT

Kisah bagaimana Johor Darul Ta’zim FC (JDT) menjadi salah sebuah kelab bolasepak yang berjaya di Asia bakal ditayangkan dalam siri dokumentari berjudul FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers, tidak lama lagi.

Dokumentari yang diterbitkan oleh Supernova Media dan dihasilkan oleh gabungan dua pengarah filem Leon Tan dan Tony Peitra Arjuna akan menampilkan 5 episod berdurasi selama 22 minit dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris.

Dihasilkan ketika musim 2019/20, FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers memaparkan bagaimana JDT membina legasi, menghadapi politik dalam dunia bola sepak serta cabaran yang dihadapi pemain sama ada dalam atau luar padang menerusi perspektif daripada beberapa personaliti dalam pasukan JDT serta penyokong setia, “Boys of Straits”.

“Sesetengah pihak memandang rendah impian kami,” kata pemilik pasukan JDT, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tonton teaser mini dokumentari FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers!

Posted by Football Tribe Malaysia on Thursday, September 3, 2020

“Tetapi dalam siri eksklusif di sebalik tabir ini menunjukkan perjalanan projek bola sepak di Johor, mengenai Johor Darul Ta’zim FC, bagaimana ia terbentuk dan menjadi kuasa besar.

“FEARLESS juga menampilkan detik-detik yang belum pernah disiarkan di mana-mana platform, mengenai bagaimana Harimau Selatan menjadi sebuah empayar, perjuangan yang ditempuhi, serta bagaimana kelab ini diuruskan di belakang tabir dan misi kami yang ingin mencapai kejayaan, sama ada di dalam mahupun luar padang,” titah baginda.

Siri dokumentari yang amat dinantikan ini juga memaparkan kisah mengenai penghasilan infrastruktur kelas dunia yang dimiliki oleh JDT, antaranya kemudahan pusat latihan, Stadium Sultan Ibrahim sehinggalah kepada program akademi remaja.

FEARLESS juga akan memaparkan bagaimana pencapaian dan kejayaan yang diraih JDT selama ini secara tidak langsung telah banyak membantu komuniti, masyarakat, negeri dan juga negara.

Istimewanya, dokumentari ini akan turut melebarkan sayap ke luar negara apabila syarikat 108 Media yang berpangkalan di Singapura telah memperoleh hak penyiaran bagi membolehkan siri dokumentari itu dijual kepada stesen televisyen dan ditonton di rantau Asia serta seluruh dunia.

“Kami amat mengagumi dengan nilai-nilai yang ditampilkan menerusi FEARLESS,” kata CEO 108 Media, Abhi Rastogi.

“Ia memberikan inspirasi, nilai naratif dan kemampuannya untuk menyatukan penyokong.

“108 Media begitu teruja untuk membawakan siri ini kepada penonton di serata dunia dan memaparkan perwatakan yang ditampilkan oleh JDT serta bola sepak di Asia.”