Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Tak cukup pasukan Liga Malaysia? Bawa masuk kelab Brunei, Singapura

B Sathiananthan memberi satu cadangan luar biasa dengan meminta MFL dan FAM membenarkan penyertaan kelab bolasepak profesional dari luar negara, jika Liga Malaysia berdepan masalah kekurangan pasukan pada musim depan.

Ini setelah Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bertegas akan teruskan saingan liga meskipun hanya dengan 10 pasukan, jika pasukan lain gagal melengkapkan proses pelesenan pasukan pada 31 Ogos ini dan pemisahan FA ke FC pada 30 Sept ini.

“Kalau hanya 10 pasukan yang jadi kelab, kita boleh ambil pasukan luar seperti dari Brunei, Singapura dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

“Ini bagi membantu memeriahkan lagi saingan liga, lagi pun pasukan-pasukan ini lebih dahulu menggunakan status FC berbanding kita.

“Pasukan-pasukan yang tersingkir ke saingan Liga-M3 pula jika mahu kembali ke saingan liga utama perlulah menyiapkan proses pelesenan serta proses penswastaan kelab.”

Bagaimanapun, Sathia tetap mengharapkan supaya semua pasukan melengkapkan proses pelesenan dan penswastaan dengan segera.

“Soal penswastaan kelab sudahpun dimaklumkan oleh AFC sejak 2014.

“Jika negara lain boleh melengkapkan proses pelesenan dan penswastaan pasukan, mengapakah negara kita yang pernah diiktiraf memiliki pengurusan terbaik sehinggakan gergasi bola sepak Asia, Jepun pernah mengikut kita, masih gagal berbuat demikian?

“Bagi saya memang rugilah kalau kita tidak bertukar kepada FC kerana ia adalah syarat daripada AFC.

Tak guna jika pasukan kita menang Piala FA atau muncul juara liga tetapi akhirnya tidak dibenarkan beraksi dalam saingan AFC.”