Bayern memenangi UEFA Champions League untuk kali keenam dalam sejarah kelab selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Paris Saint-Germain dengan satu-satunya gol dalam perlawanan dijaringkan oleh bekas pemain PSG, Kingsley Coman.
Selepas perlawanan, ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick memuji perubahan “gila” pasukannya yang memenangi treble dalam tempoh 10 bulan sejak mengambil alih tugas itu.
“Saya bangga dengan pasukan. Ketika saya melihat tajuk utama media pada bulan November, yang saya baca ialah tidak ada yang takut dengan Bayern lagi,” kata Flick.
“Sejak itu perubahan pasukan sangat luar biasa.
“Kami layak menang. Anda sudah dapat melihat dalam latihan kem musim sejuk kami pada bulan Januari bahawa sesuatu yang besar sedang berlaku.
“Pasukan ini mempunyai kehendak luar biasa untuk menang.”
Ini adalah kali pertama Flick bertugas sebagai jurulatih di Bundesliga namun dia berjaya membuktikan keupayaan dengan memenangi Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut, menjulang Piala Jerman dan sekarang Liga Juara-Juara Eropah.
Ini bermakna, Flick mengikut jejak kejayaan bekas jurulatih Bayern, Jupp Heynckes yang pernah memenangi treble pada 2013.
“Sayang sekali peminat tidak dapat berada di sini bersama kami, mungkin mereka dapat kembali lagi di masa depan, tetapi perlawanan seperti ini tanpa penyokong bukanlah bola sepak yang kita tahu,” akui Flick.
Kapten Bayern, Neuer, salah satu daripada empat pemain dari pasukan treble 2013, gembira setelah menjulang trofi UCL sekali lagi.
“Kegembiraan itu sangat besar – itulah yang kami berhak dan harapkan. Inilah hasil kerja keras.” akui penjaga gol Jerman itu.
Neuer turut mendapat pujian dari rakan sepasukan, Thomas Mueller, juga dari pasukan treble 2013.
“Ia sememangnya gila, tidak ada rahsia cara kami bermain, kami memiliki kualiti dan semangat yang luar biasa. Kami bersedia bersusah payah untuk satu sama lain,” kata Mueller.
“Dengan mentaliti hebat dan kami mempunyai Manuel Neuer di bahagian gawang, dia menunjukkan dia adalah orang nombor satu.”
Malah jurulatih PSG, Thomas Tuchel enggan menafikan prestasi yang ditunjukkan oleh Neuer.
“Manuel Neuer sekali lagi luar biasa, dia menunjukkan prestasi baik setiap minggu,” akui Tuchel.
“Dia kembali ke tahap terbaik – sayangnya bagi kita.”