Liga Super Malaysia Berita

Proses penswastaan: Pasukan Liga Malaysia diberi tempoh hingga 30 Sept

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed menggesa semua pasukan Liga Malaysia supaya menyelesaikan segera proses penswastaan kelab merangkumi pemisahan dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) selewat-lewatnya pada 30 September ini.

Ini setelah didapati hanya lima persatuan dan kelab yang melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan tersebut.

“Proses ini perlu dilakukan oleh kesemua 20 persatuan dan kelab yang pasukannya beraksi dalam Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 serta tambahan dua lagi ahli gabungan FAM yang tiada pasukan dalam kedua-dua liga utama tersebut iaitu ATM FA dan Perlis FA,” katanya kepada Sinar Harian.

“Bagi persatuan, mereka perlu melengkapkan proses penswastaan dan juga pemisahan FA ke FC manakala bagi kelab, mereka perlu melengkapkan proses penswastaan sahaja.”

Setakat ini, hanya lima pasukan sudah melengkapkan proses pemisahan iaitu JDT, Sarawak FA, PJ City FC, ATM FA, Perlis FA dan terbaharu, Negeri Sembilan FA.

Bagaimanapun, Firdaus mendedahkan sebanyak lapan persatuan dan kelab masih belum memulakan proses penswastaan dan pemisahan.

“Agak membimbangkan apabila PDRM FA, Kuala Lumpur FA, Kedah FA, Perak FA, Sabah FA, Pahang FA, UiTM FC dan UKM FC masih belum memulakan proses penswastaan biarpun lima daripada mereka sudah pun diberikan bantuan bimbingan oleh FAM menerusi lawatan ke persatuan serta kelab mereka atau secara dalam talian.

“Tempoh masa yang tinggal masih ada kira-kira dua bulan dan FAM sangat berharap pihak pengurusan persatuan dan kelab yang terlibat dapat mengambil serius hal ini.”

Ini kerana hanya persatuan dan kelab yang telah selesai proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC akan dibenarkan untuk menyertai pertandingan peringkat AFC, Liga Super dan Liga Premier bagi musim 2021.

“Justeru FAM sekali lagi menggesa persatuan dan kelab yang belum selesai atau belum memulakan proses ini supaya dapat bertindak segera kerana jika gagal, sesebuah pasukan Liga Super itu bukan saja boleh jatuh ke Liga Premier, malah akan turun terus ke Liga M3,” kata Firdaus.