Liga Super Malaysia Berita

Tunggakan gaji pemain: Kedah diberi tempoh sehingga 31 Ogos

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya memberi tempoh sehingga 31 Ogos kepada Kedah untuk melangsaikan tunggakan gaji pemain.

Ini selepas FAM menerima laporan rasmi berhubung masalah tunggakan gaji pasukan Liga Super itu.

Malah, seramai 23 pemain Kedah membuat aduan kepada PFAM, selepas lima bulan tidak menerima bayaran gaji penuh dari pengurusan Kedah.

“FAM telah menerima e-mel antara PFAM dengan Kedah FA dan terdapat laporan daripada pemain,” kata Stuart kepada Astro Arena.

“Jadi Kedah FA diberi peluang untuk melangsaikan tunggakan gaji dalam tempoh yang tertentu.”

Stuart juga mengesahkan sekiranya Kedah gagal berbuat demikian, FAM berkemungkinan akan membuat tindakan drastik.

“Jika masih terdapat tunggakan gaji, masalah ini akan membawa kesan negatif kepada pelesenan Kedah FA pada 2021.

“Saya harap KFA dapat selesaikan perkara ini dengan cepat dan kami tidak mahu apa-apa terjadi kepada Kedah kerana mereka amat penting kepada pembangunan bola sepak negara.

“FAM sedang berhubung dengan KFA untuk memastikan perkara ini dapat diselesaikan dan tiada masalah yang akan memberi kesan negatif untuk lesen 2021.”