Selepas lima tahun bersama, Faisal Halim dilaporkan akan meninggalkan Pahang setelah kontraknya tidak disambung untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Walaupun sedih, pemain berusia 22 tahun itu menganggap beliau banyak menimba pengalaman sepanjang berada dengan pasukan Pantai Timur itu.
“Saya seronok bersama Pahang selama lima musim,” katanya kepada Berita Harian.
“Segala pahit dan manis beraksi dalam Liga Malaysia banyak dapat dikumpul hingga akhirnya berpeluang terpilih membawa cabaran pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.
“Pengurusan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) sentiasa menjaga kebajikan pemain, saya berbangga dapat menabur bakti dengan Tok Gajah.
“Saya seronok bergandingan dengan barisan pemain import bertaraf bintang seperti Mohamadou Sumareh, Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon.
“Saya doakan semoga Tok Gajah meniti kejayaan selepas ini.”
Bagaimanapun, status Faisal masih belum diketahui kerana beliau dilaporkan sedang meneliti tawaran beberapa pasukan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Faisal memulakan karier bola sepak profesional di pasukan negeri kelahirannya Pulau Pinang apabila menyertai skuad Piala Presiden pada 2015.
Namun, disebabkan prestasinya beliau terpilih untuk beraksi dengan skuad senior dan akhirnya membantu pasukannya memenangi Liga Premier ketika itu.
Prestasinya menarik perhatian Pahang dan Faisal memilih untuk menyertai pasukan itu pada Nov 2015.
Di Pahang, Faisal menjadi salah seorang pemain utama pasukan untuk hampir setiap musim, membantu pasukannya mara ke final Piala FA 2017 namun tewas 3-2 kepada Kedah.
Bagaimanapun, kekalahan itu ditebus dengan kemenangan pada final Piala FA 2018 apabila Pahang menewaskan Selangor 2-0.
Prestasi Faisal juga menarik perhatian jurulatih negara, Tan Cheng Hoe yang menyenaraikan beliau dalam skuad kebangsaan bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.