Malaysia Berita

KBS rancang tambah baik program NFDP

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan bahawa kementeriannya sedang merancang untuk menambah baik program NFDP dalam masa terdekat.

Menurut laporan Bernama, salah satunya adalah memastikan bahawa program bola sepak akar umbi negara itu diurus oleh individu berkelayakan serta mempunyai semangat tinggi terhadap program pembangunan.

“Bulan ini saya akan buat mesyuarat NFDP yang pertama bersama FAM,” katanya.

“Daripada situ kita akan buat perhitungan dan akan ada satu atau dua perubahan…akan ada personaliti yang saya akan ambil untuk pastikan mereka yang benar-benar ada minat berada dalam NFDP.

“Saya bukan tahu segalanya tetapi saya perlukan semua orang yang mempunyai pengetahuan untuk dapat membantu saya,” katanya kepada Bernama.

Pada bulan Disember lalu, KBS melantik bekas ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Remaja Paris Saint Germain (PSG), Saad Ichalalene sebagai Pengarah Teknikal NFDP dan Dennis Bekking sebagai Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) bagi menggantikan Lim Teong Kim dan dua lagi pelantikan iaitu Abdifitaah Mohamed Hassan selaku Ketua Pencarian Bakat dan Metedologi Kejurulatihan dan Aminuddin Hussain sebagai Ketua Pembangunan Remaja.

Dalam pada itu, Reezal mengesahkan bahawa KBS akan menjadikan prestasi skuad B-19 dalam Kejohanan AFC-B-19 sebagai salah satu kayu ukur sejauh mana keberkesanan NFDP memandangkan Malaysia menyasarkan layak Piala Dunia B-20 2021.

“Prestasi di kejohanan itu akan menjadi kayu ukur memandangkan ramai pelatih daripada NFDP berada dalam skuad B-18. Sekurang-kurangnya ia akan memberi peluang saya membuat penilaian untuk merencana program di bawah NFDP.”

Kejohanan AFC B-19 2020 akan diadakan pada 14 hingga 31 Okt ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, Tajikistan dan Yaman.