Liga Super Malaysia Berita

Presiden Felda United meninggal dunia

Dunia bolasepak tempatan menerima perkhabaran sedih apabila Presiden Felda United, Anuar Malek meninggal dunia kira-kira 3 pagi tadi di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara akibat komplikasi jantung.

Setiausaha Agung FUFC Afizal Abu Othman berkata menyifatkan Anuar yang berusia 57 tahun itu sebagai seorang individu yang amat berdedikasi dan berjaya membawa pembaharuan sehingga pasukan dapat keluar dari krisis kewangan.

Malah, Afizal berkata Anuar cukup rapat dengan pegawai dan pemain serta sentiasa berada di stadium ketika perlawanan bagi memberikan sokongan kepada pasukan ketika beraksi dalam saingan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia.

https://www.facebook.com/feldaunitedfc/posts/3496281890416486

“Beliau baru sahaja dilantik sebagai presiden pada Mac tahun lepas tetapi telah membawa banyak pembaharuan dalam pasukan Felda United,” katanya kepada Bernama.

“Pembaharuan paling ketara yang dibawa oleh Allahyarham adalah mengetengahkan anak-anak Felda dalam pasukan pembangunan Felda United, selain turut membawa masuk sebahagian besar anak-anak Felda ke dalam skuad utama Liga Super.

Anuar dilahirkan di Felda Sungai Kelamah, Gemas dan mula berkhidmat dengan Felda sebagai Pegawai Tadbir pada 1982, dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Komuniti Felda pada 2013.

Beliau juga memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Besar (Perladangan dan Pembangunan Peneroka) Felda sejak 2015 sehingga ke akhir hayatnya.