Liga Super Malaysia Berita

MFL: Pasukan Liga Malaysia mahu adakan perlawanan persahabatan terlebih dahulu

CEO MFL, Datuk Ghani Ab Hassan mengakui pihaknya masih belum bersedia untuk mengumumkan tarikh sambung Liga Malaysia buat masa ini.

Ini selepas kerajaan membenarkan latihan bersentuhan pada 15 Julai dan juga membenarkan pertandingan bola sepak kembali pada 15 Ogos.

Bagaimanapun, MFL sedang meneliti tahap kesediaan dan persiapan pasukan sebelum Liga Malaysia disambung semula.

Ini disebabkan ada pasukan yang mahu mengadakan perlawanan persahabatan bagi mengembalikan semula keserasian antara pemain selepas sebulan mengekalkan tahap kecergasan.

“Kami perlu melihat semula bahagian-bahagian teknikal terutama keadaan padang, pemain dan pasukan,” kata Ghani kepada Astro Arena.

“Ada pasukan yang meminta untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum mereka menghadapi liga.”

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya perlu mendapatkan pandangan dari beberapa pihak termasuk jurulatih negara, Tan Cheng Hoe untuk menetapkan tarikh yang sesuai.

“Sebelum ini, ada perbincangan awal yang melibatkan FAM dengan Unit Pertandingan MFL.

“Kami memberikan tempoh sehari dua lagi kepada unit-unit ini membuat penetapan terakhir selain meminta pandangan dan pendapat daripada Cheng Ho, untuk kesesuaian pasukan kebangsaan sebelum kami membuat keputusan terakhir.

Setakat ini, PDRM, Kelantan FA, UKM FC dan Sarawak United masih belum mendapat kebenaran untuk mengadakan latihan.