Malaysia Berita

Hamidin: Luqman Hakim sepatutnya bincang dengan FAM dahulu

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan Luqman Hakim Shamsudin sepatutnya mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk FAM sebelum membuat keputusan untuk menyertai kelab di Eropah.

Ini selepas Harian Metro melaporkan bahawa Luqman Hakim sudah mendapat tawaran daripada Newcastle United menerusi ejen baharunya di United Kingdom.

“Saya mahu menasihati Luqman agar mendapatkan FAM sebagai pandangan kedua bagi memastikan mindanya tenang apabila beraksi di luar negara,” katanya kepada Astro Arena.

“Dia masih muda jadi ramailah yang mahu rapat dengannya. FAM adalah tempat untuk dirujuknya jika dia mahu mendapatkan segala maklumat.”

Luqman ketika ini dalam proses untuk menamatkan kontrak dengan Selangor yang ditandatanganinya beberapa bulan sebelum ini supaya pemain berusia 18 tahun itu boleh menyertai kelab Eropah.

Bagaimanapun bekas CEO NFDP, Safirul Abu Bakar menyifatkan FAM tidak perlu terlibat dengan soal perpindahan Luqman kerana ia hanya melibatkan wakil pasukan.

“Kelab yang terlibat perlu ada. Luqman mengikat kontrak bersama Selangor cuma untuk memuktamadkan kontraknya, seseorang pemain itu akhirnya perlu memohon kepada badan pengelola.”