Liga Super Malaysia Berita

Zaquan Adha: Pemain tetap perlu berhati-hati, elak jangkiti keluarga

Zaquan Adha Abdul Razak menganggap tarikh permulaan latihan di padang pada 23 Jun tidaklah terlalu lewat walaupun sudah dibenarkan berlatih pada minggu ini.

Pemain Kedah itu berkata, apa yang paling utama adalah pasukan mematuhi arahan MFL dengan salah satunya adalah setiap pemain dan pegawai perlu menjalani ujian calitan atau swab test dan keputusan hendaklah diserahkan kepada MFL.

Selain itu, setiap pasukan perlu melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan, menamakan pusat latihan yang tertutup dan venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan notification.miti.gov.my (MITI).

Justeru, pemain berusia 33 tahun ini merasakan keempat-empat perkara tersebut tidak boleh diambil mudah semata-mata untuk mengejar tarikh paling awal bagi memulakan latihan kerana ia bakal mengundang risiko yang tidak diingini dan sudah pasti, setiap pemain dan jurulatih ingin kembali berlatih dalam keadaan yang benar-benar selamat dan terkawal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi saya, tidak perlulah terburu-buru untuk kita memulakan latihan sekiranya empat perkara itu belum lagi selesai dan sekarang kita pun tahu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlanjutan sehingga 31 Ogos ini.

“Jadi, kita ada masa sehingga sebulan lebih untuk berlatih mengikut SOP yang betul dan macam Kedah, kami akan mulakan latihan pada 23 Jun, jadi pemain-pemain yang dari negeri lain juga ada masa untuk kembali ke Kedah bagi bersedia dan melakukan ujian calitan.

“Bukan itu sahaja, sebagai pemain, kami juga ada lebih masa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu dalam padang manakala daripada segi teknikal pula, mereka juga dapat bersedia dengan lebih baik bagi mempersiapkan apa yang patut sebelum 23 Jun ini,” katanya.

Terdapat beberapa pemain dan pegawai Kedah sudah melakukan “swab test” pada hari ini manakala selebihnya pada keesokan hari termasuklah Zaquan sendiri.

Tambah bekas kapten Harimau Malaya itu, dirinya yang sudah berkeluarga akan berada dalam risiko yang lebih besar apabila latihan bakal bermula kerana dia perlu memikirkan tahap kesihatan isteri dan anak-anak juga selepas terdedah dengan keadaan luar dengan lebih kerap selepas ini.

Oleh itu, Zaquan akan memastikan penjagaan dan kebersihan dirinya berada di tahap maksimum kerana enggan meletakkan keluarga dalam risiko.

“Sudah semestinya, saya kena lebih berhati-hati apabila latihan sudah bermula apatah lagi saya tinggal bersama isteri dan anak-anak di mana kesihatan mereka juga perlu dititikberatkan.

“Sepertimana SOP yang telah dikeluarkan MFL untuk pemain bersiap terus daripada rumah untuk ke tempat latihan dan, terus pulang ke rumah apabila sudah selesai berlatih adalah tepat kerana kami tidak perlu berada di luar terlalu lama.

“Jadi, apabila dah balik ke rumah, saya akan cepat-cepat mandi dan membersihkan diri kerana tidak mahu keluarga saya berada dalam risiko berbahaya apabila kami sudah berpeluh di tempat latihan.”