Liga Premier Malaysia Berita

FIFA arah Kelantan bayar gaji Bouslimi berjumlah lebih RM150,000

Kelantan FA mendapat tamparan besar apabila menerima satu lagi surat daripada FIFA yang mengarahkan KAFA supaya melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import Alaeddine Bouslimi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA Ahmad Muzakkir Hamid berkata surat arahan itu menuntut supaya Kelantan membayar tunggakan RM157,380.

“Pemain dari Tunisia itu yang bersama pasukan Kelantan pada musim 2018 menuntut tunggakan berjumlah RM157,380,” katanya kepada Bernama.

“Kami jangka persatuan akan berterusan mendapat surat daripada FIFA berhubung tuntutan hutang bekas pemain import dan mungkin ada lapan lagi kes tuntutan termasuk bekas jurulatih.”

Ia merupakan surat ketiga daripada FIFA selepas KAFA menerima tuntutan tunggakan gaji daripada Cassio berjumlah RM629,620.28 dan Bruno Lopes berjumlah RM141,103.60.

Muzakkir mengakui tuntutan tersebut menambah lagi bebanan KAFA yang perlu mencari penyelesaian kepada tunggakan gaji pemain tempatan.

“Kami di KAFA masih berusaha sedaya upaya dan mengutamakan tuntutan pemain tempatan. Kami masih belum angkat bendera putih, masih berusaha sehingga ke titisan akhir walaupun keseluruhan hutang berjumlah kira-kira RM5 juta.”

Setakat ini, KAFA mengumpulkan sebanyak RM25,000 dalam tabung selamatkan bola sepak Kelantan.