Liga Super Malaysia Berita

Kerajaan bakal umum kelonggaran kepada sukan berpasukan dan sukan tertutup

Kerajaan bakal memberikan kelonggaran kepada sukan berpasukan dan sukan tertutup dalam masa terdekat, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, kelonggaran tersebut akan membenarkan sesi latihan diadakan secara berpasukan, namun masih perlu mengikut SOP yang ditetapkan.

“Antara yang sedang dipertimbangkan adalah untuk membenarkan pembukaan fasiliti sukan tertutup seperti gimnasium, dewan badminton dan lain-lain.

“Juga kebenaran aktiviti sukan berpasukan dan lain-lain secara beransur seperti bola sepak, hoki untuk tujuan aktiviti latihan dan permainan ‘tanpa kontak fizikal’ tertakluk kepada pengumuman rasmi kelak,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya.

Tambah Reezal, kelonggaran tersebut bagaimanapun memperuntukkan setiap individu mempraktikkan penjarakan sosial antara dua hingga lima meter dan memastikan ia tidak melibatkan perhimpunan beramai-ramai sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Ini satu khabar positif terutamanya buat pasukan Liga Malaysia selepas aktiviti sukan berpasukan dilarang sejak 18 Mac.

Ini juga bermakna kemungkinan besar pasukan Liga Malaysia dapat mengadakan sesi latihan secara berpasukan di padang pada bulan ini ataupun bulan awal bulan depan.

Malah, saingan Liga Malaysia mungkin dapat disambung dengan lebih awal.