Liga Premier Malaysia Berita

KAFA akan bertemu kerajaan negeri dalam masa terdekat

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid mengesahkan pihaknya akan bertemu dengan kerajaan negeri Kelantan dalam masa terdekat.

Pertemuan itu dibuat bagi mendapatkan bantuan kewangan bagi meringankan beban hutang yang ditanggung badan induk bola sepak negeri itu ketika ini.

“Pada masa sama, kami di KAFA sekali lagi merayu kepada rakyat dan penyokong setia bola sepak Kelantan untuk terus menyalurkan sumbangan masing-masing bagi meringankan beban kewangan persatuan pada ketika ini,” kata Ahmad Muzakkir kepada Sukan Sinar.

KAFA akan mengadakan mesyuarat pada 10 Jun depan bagi membincangkan hala tuju perjalanan persatuan.

Dalam pada itu, rundingan antara KAFA dan bekas pemainnya Cassio berhasil dengan positif apabila kedua-duanya bersetuju untuk menyelesaikan tunggakan gaji tanpa perlu melibatkan CAS mahupun FIFA.

Muzakkir berharap Cassio dapat bersetuju dengan beberapa cadangan termasuklah lanjutan tempoh bayaran dan pengurangan bayaran daripada jumlah tunggakan asal yang bernilai hampir RM1 juta.

“Alhamdulillah pintu rundingan kembali terbuka dalam mencari jalan penyelesaian terbaik isu tuntutan tunggakan gaji pihak Cassio terhadap KAFA,” katanya kepada Sukan Sinar.

“Peguam Cassio, Zhafri Aminurashid mahu rundingan terbabit bersyarat apabila perlu menjalani proses mediasi di CAS bagi memastikan hak pemain itu terjaga selain tidak timbul masalah pada masa depan.

“CAS akan beri perintah persetujuan dan sekiranya persetujuan bersama berjaya dicapai oleh kedua-dua pihak menerusi mediasi maka rayuan KAFA sebelum ini akan dibatalkan.

“Kita akan manfaatkan tempoh masa yang ada ini untuk bersama-sama berunding mencari jalan penyelesaian terbaik demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Mohon doakan kita capai kata sepakat nanti.”