Liga Super Malaysia Berita

Perak lancar kedai jenama rasmi The Bos Gaurus

Perak mengambil peluang untuk menjana pendapatan ketika penangguhan liga akibat wabak COVID-19 dengan melancarkan kedai barangan rasmi The Bos Gaurus dalam talian iaitu PAFA Online Store.

Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohd Nadzri mengakui pasukannya cukup terkesan dengan penangguhan liga yang menyebabkan kehilangan sumber pendapatan, namun menganggap Perak perlu terus menjana pendapatan walaupun perlawanan tidak dapat dilangsungkan.

“Wabak yang membelenggu negara ini telah mengakibatkan Liga Malaysia ditangguhkan dan sudah tentu semua pasukan terlibat turut merasai kesannya terutamanya dari sudut kewangan,” katanya menerusi laman sesawang rasmi Perak TBG.

“Oleh itu, PAFA harus mengambil langkah proaktif dalam memastikan kelestarian dan kesinambungan pasukan terjaga selain terus mendekatkan pasukan dengan peminat.”

PAFA Online Store membolehkan para peminat Perak di seluruh negara mendapatkan barangan rasmi pasukan menerusi tempahan dalam talian.

“Apabila dilancarkan baru-baru ini, kami telah pun menerima sambutan yang agak memberangsangkan daripada peminat di seluruh negara,” kata Azlin.

“Segala barangan rasmi pasukan seperti pakaian dan cenderamata akan dijual di laman sesawang yang disediakan buat semua peminat The Bos Gaurus.

Justeru, Azlin menyeru peminat Perak supaya mendapatkan barangan rasmi tanpa perlu keluar dari rumah.

“Ini juga merupakan satu langkah yang diambil PAFA untuk memperkukuh kedudukan Perak sebagai salah satu pasukan utama di negara ini.

“Peminat tidak lagi perlu berasa runsing untuk mendapatkan barangan rasmi dan asli secara terus daripada pihak PAFA.”

PAFA Online Store boleh dilayari di https://store.peraktbg.my.