Liga Super Malaysia Berita

Azraai Khor: Mengapa perlu berbelanja besar, Kedah ada ramai pemain anak jati

Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah mengakui kecewa dengan pengurusan pasukan yang berbelanja besar pada musim ini sehingga menyebabkan berlakunya krisis kewangan dan masalah tunggakan gaji pemain.

Katanya, ini kali pertama Kedah berdepan dengan masalah kewangan dan beliau tidak mengerti mengapa pasukan gergasi seperti Kedah dikendalikan dengan sebegitu rupa seolah-olah pihak pengurusan langsung tidak memikirkan kebajikan pasukan.

“Ini kali pertama berlaku. Sungguh memalukan. Kedah tiada sejarah langsung dengan masalah gaji,” katanya kepada Astro Arena.

Azraai turut meluahkan rasa hairan terhadap polisi pengambilan pemain Kedah pada musim ini yang lebih mengutamakan kemasukan pemain luar berbanding pemain dari akar umbi.

“Mengapa Kedah tidak ketengahkan pemain-pemain muda sebagai tujuan pembangunan, seperti kejayaan memenangi tiga kejuaraan dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum ini, naikkan pemain B-21.

“Ketika itu, kami menggunakan khidmat rata-rata anak jati dan pemain pelapis.

“Tidak mengapa kalau ingin ambil pemain matang, tetapi ia tidak menjadi.

“Ia satu pembaziran, perancangan Kedah nampaknya gagal.”

Walaupun tinggal seminggu sahaja lagi untuk menyambut hari raya Aidilfitri, Kedah masih belum mendapat gaji penuh bulan Februari, Mac dan April.