Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FA sebenarnya ada 6 lagi kes FIFA, semuanya bernilai RM2 juta

Di sebalik kutipan derma yang dibuat untuk membayar tunggakan gaji hampir setengah juta kepada bekas pemain import Kelantan FA, Cassio, pasukan itu mempunyai lebih banyak hutang daripada yang disangkakan selama ini.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman mendedahkan pasukan Pantai Timur itu berdepan dengan enam lagi kes yang dihadapkan ke FIFA, melibatkan tunggakan gaji pegawai dan pemain import sehingga RM2 juta, dan semua tunggakan tersebut masih belum dilunaskan sejak 2017.

“Saya rasa ada lima atau enam kes lagi, tapi tidak membabitkan kes besar seperti Cassio. Saya rasa ada lagi lebih kurang RM2 juta,” katanya kepada BH Sukan.

“Ada kes pemain import yang kita sudah selesaikan sebelum ini dan ada sesetengah lagi yang mana mereka sudah minta peguam mereka bawa kes ke FIFA. Kita tunggu saja, kadang-kadang FIFA pun lambat juga.”

Sebelum ini, KAFA dilaporkan berdepan lebih tujuh kes tunggakan gaji yang dihadapkan ke FIFA dengan hutang bernilai RM4 juta termasuk kes Cassio.

Husin bagaimanapun menyalahkan krisis COVID-19 yang memburukkan lagi keadaan dan merosakkan perancangan untuk menyelesaikan hutang lama.

“Kita memang ada pelan perniagaan, tapi disebabkan COVID-19, ia terbantut kerana hasil jualan tiket tiada, penaja pun ada yang tak nak bayar.

“Sepatutnya semua sudah berada dalam perancangan kita. Jadi, kita pun harap boleh dilanjutkan ke tahun depan, selepas COVID-19 dan kita boleh tumpu selesai isu Cassio dahulu.”