Liga Super Malaysia Berita

Penyokong kecewa dengan pengurusan Kedah

Wakil Kelab Penyokong Kedah melalui Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd Safarizal Mohd Sobri meluahkan rasa kecewanya terhadap pengurusan pasukan yang masih gagal melunaskan gaji pemain.

Katanya, pihak pengurusan seharusnya membuat perbincangan secara terbuka demi membela kebajikan pemain, bukannya langsung tidak membayar gaji sehingga dua bulan.

“Sebelum ini Setiausaha Kehormat KFA memberi jaminan isu gaji ini akan diselesaikan segera, tapi nampaknya dari hari ke hari keadaan kini menjadi semakin rumit,” katanya kepada Arena Metro.

“Kami mengharapkan supaya KFA dapat mencegah perkara ini sebelum keadaan menjadi parah kerana sebagai majikan, KFA wajib melunaskan tunggakan gaji berkenaan di samping menjaga imej pasukan.

“Jalan terbaik dengan mengadakan perbincangan segera agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.”

Safarizal turut menyelar sikap pengurusan pasukan Kedah yang seolah-olah tidak serius dalam menjaga kebajikan pasukan.

“Melalui media sosial dan media cetak, KFA memberi alasan pihak penaja menghadapi masalah kewangan disebabkan kesan wabak pandemik COVID-19 ini.

“Jadi jika KFA boleh memahami masalah penaja, mengapa pula KFA tidak cuba menjelaskannya kepada pemain bagi menyelesaikan isu ini dengan cara baik.

“Pihak kami berharap KFA dapat mencari jalan terbaik seperti bertemu dan berbincang dari ‘hati ke hati’ dengan semua untuk memberi penjelasan sebenar apa yang sedang berlaku.”