Liga Super Malaysia Berita

Peluang Perak buru slot ACL dan Piala AFC

Kapten pasukan Perak, Shahrul Saad berpandangan jadual baharu Liga Malaysia akan memberi cabaran lebih besar kepada semua pasukan apabila hanya satu pusingan liga yang akan dipertandingkan.

Malah, pemain pertahanan itu menghargai usaha MFL yang tetap mahu meneruskan Liga Malaysia demi kelangsungan hidup pemain dan kakitangan setiap pasukan.

“Memang cukup menggembirakan saya dan rakan sepasukan yang lain sebaik dapat tahu liga kita tidak dibatalkan,” katanya.

“Sekurangnya-kurangnya kami pemain masih boleh menerima gaji sehingga penghujung musim ini.

” Saya akui ini merupakan satu keputusan sukar buat MFL tetapi kita harapkan Liga Malaysia boleh bersambung pada September nanti.”

Shahrul turut menganggap Perak berada pada landasan terbaik untuk layak ke kejohanan Asia iaitu ACL dan Piala AFC apabila menduduki tangga kedua Liga Super selepas mengumpul 8 mata dalam 4 perlawanan, hanya dua mata di belakang pendahulu liga JDT.

“Melalui format satu pusingan ini, saya rasa boleh jadi satu peluang kepada kami dalam cuba dapatkan sesuatu pada saingan Liga Super.

“Cuma tiada ruang untuk terlepas sebarang mata memandangkan tidak banyak perlawanan yang tinggal selain mengharapkan kami kena pastikan rentak yang sama mampu diteruskan seperti di awal musim.

“Namun apa yang akan menjadi kuncinya nanti ialah sejauh mana cepat pasukan boleh mendapatkan kecergasan selepas berehat panjang beberapa bulan, perkara ini juga jadi sedikit kebimbangan.

“Apa-apapun sama ada CIMB Liga Super atau TM Piala Malaysia, matlamat utama kami ialah mahu mendapatkan tiket ke pertandingan ACL dan Piala AFC selain memburu sebarang kejuaraan,” katanya.