Malaysia Berita

Pemotongan gaji Liga Malaysia: Ada pasukan dan pemain gagal capai kata sepakat

Walaupun Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan status perbincangan isu pemotongan gaji daripada semua pasukan, masih ada pasukan Liga Malaysia yang gagal untuk mencapai sebarang kata sepakat berhubung perkara tersebut.

Laporan BH Sukan mendedahkan ada pemain yang enggan menerima jumlah peratusan pemotongan gaji yang dicadangkan pihak pengurusan.

“Memang semua pasukan menghantar dokumen isu pemotongan gaji tetapi hakikatnya, ada pasukan yang gagal buat pemotongan gaji pemain,” kata sumber kepada BH Sukan.

“Bagi pasukan yang dapat buat pemotongan gaji, mereka mengemukakan dokumen di mana pemain bersetuju dengan jumlah peratusan yang dipotong dan tempoh pemotongan yang dikenakan.

“Tapi ini tidak bermakna pasukan yang gagal mendapatkan persetujuan tidak mengadakan perbincangan bersama pemain mereka. Mungkin ada pemain yang tidak bersetuju dengan peratusan gaji yang perlu dipotong ataupun tempoh pemotongan yang akan dibuat.”

Sekretariat Agung FAM akan meneliti laporan pemotongan gaji setiap pasukan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Setakat ini, beberapa pasukan sudah membuat pemotongan gaji terhadap pemain iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), UKM FC, Kuching FA, Melaka United dan Felda United.