Liga Super Malaysia Berita

Selangor terpaksa potong gaji pemain sampai bulan November

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui pemotongan gaji pemain Selangor terpaksa dilakukan bermula pada Mei hingga November, setelah terkesan dengan penangguhan Liga Malaysia akibat wabak COVID-19.

Katanya, keputusan itu terpaksa dibuat apabila mendapati pihak pengurusan akan kehilangan RM2.9 juta hasil jualan tiket perlawanan dan wang penajaan.

Disebabkan itu, beberapa pertemuan sudah diadakan kepada semua pemain, pegawai dan kakitangan sokongan FAS bagi memberikan penerangan terperinci mengenai kedudukan kewangan pasukan.

“Kita terpaksa mengambil langkah untuk membuat penjimatan,” katanya kepada Arena Metro.

“Kita membuat penelitian dan kajian cukup terperinci sebelum memutuskan pemotongan gaji.

“Disebabkan ketiadaan jualan tiket serta paling utama, permintaan beberapa penaja yang meminta penangguhan pembayaran memberi kesan langsung kepada kewangan pasukan.”

Kata Johan, FAS akan membuat pemotongan gaji berdasarkan komitmen kewangan bulanan semua pemain dan pegawai supaya tidak membebankan mana-mana pihak.

“Potongan gaji adalah berdasarkan tangga gaji dan status perkahwinan mereka iaitu di antara 3% – 33%. Dari jumlah itu, hanya 5% jumlah tenaga kerja yang menerima potongan 25% ke atas.

“Manakala, kakitangan yang menerima RM1200 tidak dipotong kerana ia adalah gaji minima yang ditetapkan kerajaan. Secara keseluruhan, purata potongan gaji semua kakitangan adalah sebanyak 10%.

Namun, walaupun tawaran pemotongan gaji disambut baik untuk membantu kewangan pasukan, ada juga pemain yang kurang berpuas hati dengan keputusan tersebut, kerana merasakan pemotongan gaji sehingga hujung tahun dianggap sebagai keterlaluan.

“Memang ada yang tak setuju tapi ia hanya 40 peratus sahaja, selebihnya termasuk kakitangan setuju dengan pemotongan gaji.

“Kita dah maklumkan kepada pemain sekiranya PKP tamat dan MFL membenarkan jualan tiket dan terdapat penaja korporat yang dapat meneruskan komitmen, kita akan bagi balik dana yang dikumpulkan kepada pemain.

“Dengan krisis Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini, banyak penaja-penaja juga berdepan masalah. Tapi seperti saya kata tadi, kita komited untuk memulangkan semula jika jualan tiket dapat dibuat dan penaja korporat dapat membayar wang penajaan kepada FAS.”